ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: FATWA BOLEH DIUBAH, IA HANYA PANDANGAN DAN PENDAPAT" - SIS

Friday 7 November 2014

FATWA BOLEH DIUBAH, IA HANYA PANDANGAN DAN PENDAPAT" - SIS

Fatwa boleh diubah, ia hanya pandangan dan pendapat - SIS

KUALA LUMPUR: Sisters in Islam (SIS) mempertikaikan asas fatwa yang mengharamkan pertubuhan mereka oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor.

Pengarah Eksekutif SIS, Ratna Othman berkata, sejak 2003, pertubuhan itu terbukti sudah membantu secara percuma hampir 10,000 wanita Muslim yang datang untuk mendapatkan khidmat perundangan.

"Ribuan wanita telah dibantu dan dilatih seterusnya ahli keluarga mereka serta masyarakat sekeliling juga dibantu.

"Bagaimana aktiviti yang mencerminkan belas kasihan dan kebaikan dalam Islam serta meningkatkan kesedaran wanita tentang keadilan boleh dianggap sesat dan menyeleweng?" katanya.

Ratna berkata demikian semasa sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Saifuddin Abdullah dan wakil Pimpinan Pusat PAS di sini hari ini.

Pada Julai 2014, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengisytiharkan SIS dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman "liberalisme" dan "pluralisme" agama sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

SIS kemudiannya membuat semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung perkara berkenaan.

Dalam semakan kehakiman tersebut, SIS menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, MAIS dan kerajaan Selangor sebagai responden, mahu membatalkan pengisytiharan fatwa itu dan mahu diiktiraf sebagai badan yang dijamin mengikut Akta Syarikat 1965 dan tidak terikat dengan fatwa itu.

Ratna turut melahirkan rasa hairan kerana tidak dipanggil untuk memberi penerangan kepada Jawatankuasa Fatwa Selangor sebelum fatwa diumumkan.

"Jawatankuasa Fatwa tidak memberi sebarang justifikasi kenapa fatwa itu dikeluarkan dan menerangkan apa yang dimaksudkan "liberalisme", "pluralisme" serta apakah yang dianggap sebagai bertentangan dengan "ajaran Islam dan Hukum Syarak".

"Jika Islam dijadikan sumber untuk penggubalan undang-undang dan dasar awam, maka semua orang mempunyai hak untuk berbincang dan berdebat dalam hal-hal ini," jelasnya.

Oleh itu katanya, ia harus terbuka kepada perbahasan dan perbincangan orang ramai selain melihat keadilan hanya boleh dicapai dengan rundingan bersama dan mengambil kira pendapat yang berbeza.

Ratna turut melahirkan keyakinan fatwa juga boleh diubah dan hanya pendapat semata-mata.

"Ada fatwa yang semak semula. Istilah fatwa sendiri adalah pendapat. Ada fatwa sebelum ini yang diubah," katanya.

"Fatwa haram kepada SIS juga melanggar hak asasi kebebasan bersuara, bersekutu dan agama seperti yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Ia menceroboh bidang kuasa Persekutuan di mana Parlimen sahaja yang mempunyai kuasa legislatif untuk membataskan hak-hak asasi," ujarnya.

Katanya lagi, fatwa itu juga tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi arahan kepada institusi Persekutuan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengharamkan dan merampas buku-buku dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menyekat laman-laman media sosial.
Astro Awani

No comments:

Post a Comment