PETALING JAYA: Pakatan Rakyat (PR) menganggap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim 'berbohong' apabila menyatakan beliau mendapat sokongan majoriti wakil rakyat untuk mengekalkan kedudukanya sebagai menteri besar Selangor.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, perkara itu dapat dibuktikan apabila 28 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih disandang wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR dan DAP.
"Baki 28 kerusi lagi belum tentu. Kalau pun dapat (sokongan) semua 28 Adun termasuk Adun Umno, ini bukan majoriti, 29 barulah majoriti.
"Kita harap prinsip asas demokrasi dapat dihormati (oleh Khalid), kalau sebut prinsip demokrasi mesti lebih 28, tidak boleh 28," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, lewat malam Selasa.
Sidang media itu diadakan selepas satu mesyuarat tergempar melibatkan pimpinan tertinggi PKR dan DAP berlangsung ekoran pemecatan enam exco DAP dan PKR di Selangor, pada petang Selasa.
Menurut Guan Eng, PR tidak faham bagaimana Khalid boleh mengambil keputusan memecat lebih daripada separuh ahli exco di bawah pentadbirannya.
Katanya, keputusan itu sama sekali tidak boleh diterima PR kerana ia melanggar prinsip demokrasi.
"Dari segi etika dan prinsip demokrasi, memecat separuh daripada ahli exco, apakah jenis kerajaan ini?
"Saya minta semua penyokong Pakatan supaya bertenang dan sabar...saya tahu mereka keliru dan marah bahawa sebuah kerajaan boleh dipermainkan sewenang-wenangnya oleh seorang Adun Bebas," katanya.
Pada Selasa, Khalid mengumumkan keputusan memecat enam exco PKR dan DAP iaitu Datuk Teng Chang Kim (Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan), Rodziah Ismail (Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita), Ean Yong Hian Wah (Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Pembangunan Kampung Baharu, Pemutihan Kilang Haram), Elizabeth Wong (Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar), Dr Daroyah Alwi (Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Ganabatirau Veraman (Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin).
Bagaimanapun, dalam mesyuarat tergempar yang diadakan malam Selasa, PR sebulat suara membantah dan tidak mengiktiraf keputusan tersebut kerana mendakwa ia tidak mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
mStar
mStar
No comments:
Post a Comment