ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: JANGAN TUDUH PAS TIKAM BELAKANG !!!

Wednesday 27 August 2014

JANGAN TUDUH PAS TIKAM BELAKANG !!!


BUTTERWORTH 27 Ogos - Pas memberi amaran kepada penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP supaya tidak sesekali menuding jari dan menyalahkan parti itu berhubung krisis Menteri Besar Selangor sekali gus menafikan sumbangan mereka dalam pakatan pembangkang selama ini.

Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd. Salleh Man berkata, tuduhan kononnya Pas cuba menikam pakatan pembangkang adalah tidak tepat, sebaliknya parti itu selama ini telah membuktikan komitmennya dengan memberi kerjasama yang baik dalam pakatan berkenaan.

"Saya tahu selepas Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali memaklumkan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di Selangor tidak akan menandatangani akuan bersumpah menyokong Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail walaupun menyokong pencalonannya sebagai Menteri Besar, ramai penyokong PKR dan DAP membuat pelbagai spekulasi dan persepsi di laman sosial.

"Malah, ada yang mengecam kami dengan pelbagai tuduhan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan zakat kepada 163 penerima, di sini semalam.

Mohd. Salleh yang juga ADUN Permatang Pasir mengulas kecaman yang diterima parti itu termasuk dituduh pengkhianat oleh penyokong PKR dan DAP susulan kenyataan Mustafa yang ADUN Pas Selangor tidak akan menandatangani akaun bersumpah berkenaan.

Beliau menggesa pihak berkenaan menghentikan spekulasi tersebut kerana boleh mewujudkan suasana tegang dalam kerjasama antara Pas, PKR dan DAP.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan pihak tertentu supaya tidak menafikan sumbangan Pas bersama pakatan pembangkang selama ini.

"Pas ada pandangan sendiri dalam isu Menteri Besar Selangor dan wajar dihormati, begitu juga dengan PKR dan DAP.

"Yang penting mereka kena ingat kenapa wujudnya pakatan melibatkan ketiga-tiga parti ini," katanya.

Ditanya sama ada kerjasama melibatkan Pas dengan DAP dan PKR di negeri ini terjejas ekoran krisis Selangor, Mohd. Salleh berkata, mereka tidak pernah membincangkan perkara itu.

Mohd. Salleh berkata, keputusan Pas pusat tentang isu Menteri Besar Selangor wajar dihormati dalam kalangan penyokong PKR dan DAP.

"Dalam politik, kita ada hak untuk memberi pandangan dan sebab itu kita kemukakan dua nama dan tidak timbul isu sokong atau tidak," katanya
RakyatNews

No comments:

Post a Comment