ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: AGONG SOLAT JUMAAT DAN SOLAT JENAZAH GHAIB DI MASJID PUTRA

Friday, 22 August 2014

AGONG SOLAT JUMAAT DAN SOLAT JENAZAH GHAIB DI MASJID PUTRA

PUTRAJAYA: Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, menunaikan solat Jumaat dan solat jenazah ghaib, serta hadir majlis tahlil di Masjid Putra di sini untuk mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines, Penerbangan MH17.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut hadir solat berjemaah di sini yang diimamkan Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.
Khutbah khas bertajuk 'Hakikat Loh Mahfuz' sempena Hari Perkabungan Negara bagi menghormati mangsa tragedi itu dibacakan oleh Syaikh Ismail, yang pada satu ketika, sebak dan mengalirkan airmata semasa menyentuh kewafatan Rasulullah SAW.
Terdahulu pada jam 12.20 tengah hari, dua jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 disembahyangkan di masjid yang sama dengan diimamkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad Albakri.
Kedua-dua jenazah itu ialah anak kapal MH17, Nur Shazana Mohamed Salleh, 31, dan pembantu juruterbang, Ahmad Hakimi Hanapi, 29.
Jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Taman Selatan, Presint 20 untuk dikebumikan.
Penerbangan MH17 Boeing 777-200 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas.
Empat puluh tiga mangsa yang terkorban ialah warga Malaysia dan 20 jenazah yang tiba hari ini adalah kumpulan pertama yang dibawa pulang.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment