ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: LAGI JENAZAH MANGSA MH17 TIBA PAGI INI

Sunday 24 August 2014

LAGI JENAZAH MANGSA MH17 TIBA PAGI INI




SEPANG - Tiga mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 tiba di Malaysia hari ini dengan dua daripadanya diberi penghormatan dalam istiadat ringkas namun penuh penghormatan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini.

Malaysia juga bertafakur selama seminit mulai 8.41 pagi sebagai tanda penghormatan terhadap mangsa tragedi itu.

Muram dan sayu menyelubungi istiadat penghormatan tentera seperti yang diterima 20 korban mangsa nahas MH17 pada Jumaat, sebaik sahaja pesawat yang membawa jenazah penyelia penerbangan kabin MAS, Mohd Ghafar Abu Bakar dan pensyarah Universiti Malaysia Sabah, Ng Shi Ing menghampiri Kompleks Bunga Raya KLIA.

Pesawat komersial MH19 membawa kumpulan kedua jenazah mangsa nahas itu berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam pada tengah hari (6 petang waktu Malaysia) pada Sabtu dan mendarat di terminal utama KLIA pada 6.45 pagi.

Ia kemudian mula bergerak ke kawasan kompleks pada 8.25 pagi sebelum berhenti sepenuhnya untuk istiadat itu pada 8.30 pagi.

Hadirin termasuk kenamaan, pegawai kerajaan dan waris cuba melawan sebak serta tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih terutama ketika keranda jenazah dan kendi berisi abu mayat mula diturunkan dari pesawat itu dan diusung serta dibawa ke dalam dua kenderaan jenazah.

Jenazah pertama yang dibawa turun ialah Mohd Ghafar diikuti abu Ng. Identiti jenazah ketiga yang tidak mengikuti istiadat penghormatan, tidak didedahkan atas permintaan keluarga.

Mohd Ghafar dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Kosas, Ampang manakala Ng akan dihantar ke Xiao En Bereavement Care Sdn Bhd di Cheras, Kuala Lumpur.

Sebaik sahaja kedua-dua pintu kenderaan jenazah ditutup, pengerusi majlis membuat pengumuman kepada hadirin untuk bertafakur.
Suasana semakin sebak apabila kenderaan jenazah mulai bergerak untuk meninggalkan kawasan Kompleks Bunga Raya KLIA.

Berada di Kompleks Bunga Raya sempena istiadat penghormatan mangsa pesawat MH17 itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup dan Datuk Dr Wee Ka Siong.

Selain waris dan keluarga, turut dilihat hadir ialah sekumpulan anak kapal MAS.

Sebanyak 190 anggota daripada 12 Briged Infantri Malaysia terlibat dalam istiadat penghormatan hari ini.

Semalam, Tiong Lai berkata, kumpulan ketiga jenazah dijangka tiba pada 30 Ogos. 

Setakat ini, pihak Belanda telah mengenal pasti 30 warga Malaysia.

Pada Jumaat, jenazah 20 rakyat Malaysia yang dibawa pulang ke tanah air dalam 17 keranda dan tiga kendi berisi abu mayat diberi penghormatan mengikut adat istiadat tentera - julung kali diberikan kepada orang awam dalam sejarah negara ini - dan diurus dengan amat teliti dalam istiadat penuh hormat.

Turut bersama waris mangsa menyambut kepulangan jenazah anggota keluarga mereka pada Jumaat lepas ialah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Muhyiddin dan isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman serta orang kenamaan lain.

Pesawat Boeing 777-200, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Ia dipercayai ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab. -
Bernama

No comments:

Post a Comment