GEORGETOWN: Seorang murid darjah satu didakwa ditampar guru wanita ketika sesi pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Tanjung Tokong, kelmarin sehingga menyebabkan pipinya berbekas.
Bapa kepada murid berkenaan, Zahurin Abdul Karim, 31, berkata, isterinya menyedari lebam di pipi anaknya selepas waktu sekolah.
Menurutnya, isterinya yang pergi mengambil anak mereka yang berusia tujuh tahun itu dari sekolah di Tanjung Tokong itu, kelmarin.
“Isteri saya ternampak ada kesan berbirat di pipi anak kami dan dia bersendirian segera pergi ke bilik guru besar untuk mendapatkan penjelasan.
“Namun daripada penjelasan itu, mereka kata hanya telinga yang ditarik. Kemudian, isteri dan anak balik ke rumah. Barulah saya lihat keadaan sebenar anak,” katanya.
Disebabkan tidak berpuas hati, Zahurin kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Tanjung Tokong.
Setelah selesai membuat laporan, pegawai polis di situ menasihatkan Zahurin menyelesaikan kes tersebut dengan berbincang secara baik bersama guru yang terlibat.
Zahurin kemudiannya menghubungi guru kelas anaknya bagi mendapatkan nombor telefon guru yang didakwa menampar anaknya itu, namun tiada maklum balas diterimanya.
“Tetapi pada awal pagi semalam, pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) menghubungi saya bagi membolehkan saya serta guru berkenaan duduk berbincang. Saya terima (untuk duduk berbincang) memandangkan polis juga mencadangkan perkara yang sama.
“Setelah berjumpa dengan guru serta suaminya di pejabat PPD, saya ingatkan ada penyelesaian tetapi perbincangan gagal kerana guru berkenaan mahu mengambil tindakan lain,” katanya.
Zahurin berkata, dia sudah mengambil langkah yang wajar dengan duduk berbincang, namun berasa kecewa kerana pihak guru berkenaan tidak mahu menyelesaikan masalah tersebut.
“Kami mungkin membawa kes ini ke mahkamah dan akan membuat laporan perubatan di Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya.
Di harap selepas ini guru akan lebih sabar dalam mendidik anak-anak apatah lagi yang masih kecil seperti ini manakala ibu bapa pula, jalinkanlah hubungan baik dengan pihak sekolah dan guru anak anda demi kebaikan bersama.
No comments:
Post a Comment