ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: MH17: ENAM JENAZAH RAKYAT MALAYSIA DIBAWA KELUAR DARI HILVERSUM DALAM TEMPOH 48 JAM

Tuesday, 26 August 2014

MH17: ENAM JENAZAH RAKYAT MALAYSIA DIBAWA KELUAR DARI HILVERSUM DALAM TEMPOH 48 JAM


The Hague - Sekurang-kurangnya enam lagi jenazah rakyat Malaysia mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 dijangka dibawa keluar dari Pusat Perubatan Tentera di Hilversum dekat sini, dalam tempoh 48 jam bermula Isnin, untuk pengurusan jenazah dan penghantaran pulang.

Menurut sumber, enam jenazah itu telah dikenal pasti sebagai rakyat Malaysia selepas menjalani Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti identifikasi dan autopsi baru-baru ini.

“Kebiasaannya, rumah mayat yang telah dilantik akan dipanggil pihak berkuasa Pusat Perubatan Tentera bagi membawa keluar mana-mana jenazah untuk urusan pengurusan jenazah mengikut agama masing-masing,” katanya kepada Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya berharap kesemua enam jenazah itu dapat diuruskan dan dibawa balik ke tanah air dalam minggu ini.

SOP menetapkan sebaik sahaja jenazah dikenal pasti sebagai milik sesebuah negara sewaktu proses pengecaman dan identiti mangsa di Kem Perubatan Tentera Hilversum, jenazah berkenaan kemudian perlu melalui lima proses penting.

Ia melibatkan proses mendapatkan sijil kematian, sijil perubatan, laporan bencana, permit kebenaran penghantaran jenazah dan surat persetujuan pegawai pendakwa raya Belanda bagi jenazah dikebumi atau dibakar.

Selepas selesai proses itu, jenazah kemudian dipindahkan ke rumah mayat Monuta Innemee, S-Gravenhage di sini, kira-kira 90km dari Hilversum untuk menjalani urusan pengurusan jenazah mengikut agama masing-masing.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di rumah mayat itu mendapati ada anggota keluarga satu daripada jenazah itu yang hadir untuk berbincang mengenai upacara pengurusan jenazah.

Keluarga itu yang hadir dengan wakil MAS pada kira-kira 11 pagi kelihatan tenang dan bertanyakan beberapa soalan mengenai proses perjalanan upacara dengan pegawai rumah mayat itu sebelum beredar sejam kemudian.

Kumpulan pertama 20 jenazah yang melibatkan 11 penumpang dan sembilan anak kapal dibawa pulang ke tanah air dari Amsterdam dengan sebuah pesawat khas pada Jumaat lepas disusuli kumpulan kedua dengan tiga jenazah semalam.

Penerbangan MH17, yang membawa 289 penumpang termasuk 15 anak kapal, ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai lepas.
mStar

No comments:

Post a Comment