ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: IBU RAYU ANAK SULUNG PULANG

Wednesday, 27 August 2014

IBU RAYU ANAK SULUNG PULANG


REMBAU - Seorang ibu meminta anak perempuan sulungnya yang bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini pulang ke pangkuan keluarga di Kampung Air Hitam Chembong, dekat sini, selepas menghilangkan diri buat kali ketiga dalam tempoh lima tahun.

Ibu berkenaan, Siti Maisarah Samsuri, 35, berkata, anaknya, Mas Juliana Padli, 17, menghilangkan diri kira-kira dua minggu sebelum Aidilfitri iaitu pada 16 Julai lalu dan sehingga ke hari ini anaknya itu enggan pulang ke rumah kerana mendakwa menetap bersama keluarga angkatnya.

Bagaimanapun menurutnya, kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar anaknya kepada suaminya, Padli Warno, 40, seolah-olah menunjukkan anaknya ingin terus menetap bersama keluarga angkat yang didakwa merupakan keluarga baik-baik.

“Saya bimbang kerana anak saya tidak pernah menghilangkan diri terlalu lama seperti ini.  Malah, jika benar ada keluarga angkat yang menjaganya saya harap mereka dapat menghubungi suami saya di talian 019-6195129.

“Saya bimbang dengan keselamatan anak saya dan masa depannya kerana dia masih tidak pulang ke rumah serta tidak menduduki peperiksaan percubaan SPM yang bermula Isnin lalu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Air Hitam Chembong, semalam.

Maisarah berkata, dia juga bimbang dengan keadaan kesihatan anaknya itu yang disahkan menghidap talasemia pada tahun lepas.

Menurutnya, kali pertama menghilangkan diri selama dua minggu ialah semasa anaknya di tingkatan satu di mana dia  dijumpai di Banting, Selangor, kali kedua semasa di tingkatan tiga di Mantin selama seminggu dan kini sudah masuk kali ketiga.

“Pelbagai usaha sudah suami saya lakukan termasuk menghantar anak saya ke rumah perlindungan di Melaka, namun anak saya masih begini," katanya.

Untuk rekod, Mas bertubuh tinggi, kurus dan hilang sejak 16 Julai lalu selepas bapanya menghantarnya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Sedia Raja kira-kira jam 7.30 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
SH

No comments:

Post a Comment