ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: EXCO PAS SELANGOR NAFI KHALID BUAT KEPUTUSAN SENDIRI

Thursday, 21 August 2014

EXCO PAS SELANGOR NAFI KHALID BUAT KEPUTUSAN SENDIRI


SHAH ALAM: Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Halimah Ali menafikan dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini bahawa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuat keputusan pentadbiran kerajaan negeri secara bersendiri.

Sambil menyifatkan Khalid sebagai sangat berhati-hati dan bertanggungjawab berkaitan soal kewangan, katanya beliau tidak pernah melihat Khalid membuat sebarang keputusan tanpa berunding lanjut dengan barisan Exco terlebih dahulu.

"Daripada pengalaman saya, apa saja keputusan yang dibuat olehnya (Abdul Khalid), semua mesti tentang rakyat sebab dia akan tanya butiran sama ada ia akan beri manfaat pada rakyat," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Dr Halimah berkata sepanjang berkhidmat lebih enam tahun dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu, tuduhan dibuat PKR terhadap menteri besar itu lebih berkaitan dengan masalah dalaman parti itu.

"Kami berada dalam situasi ini (kemelut politik Selangor), kami (Exco PAS) tidak mahu perkara ini berlaku...bila sudah berlaku, kami sekarang kena pastikan kerajaan stabil dan kakitangan kerajaan tidak huru-hara untuk memastikan ia (pentadbiran) berjalan lancar," katanya.

Dr Halimah berkata sejak enam Exco daripada PKR dan DAP dipecat minggu lepas, kerajaan negeri kini membuat sebarang keputusan berkaitan portfolio keenam-enam Exco tersebut secara kolektif menerusi mesyuarat yang dijalankan sepanjang minggu.

Usaha itu adalah untuk memastikan urusan dan perancangan kerajaan negeri dapat berjalan seperti biasa termasuk semua projek pembangunan serta pentadbiran kewangan, katanya.

Pada 9 Ogos lepas, Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memutuskan untuk memecat Khalid daripada parti malah menteri besar itu disifatkan sebagai 'open defiance' atau menunjukkan keingkaran secara terbuka.

Antara keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang didakwa diingkari Khalid adalah menangguhkan proses dan perbincangan projek Loji Rawatan Air Langat 2 serta kenaikan elaun Speaker, Menteri Besar, Exco dan Adun Selangor.

Dr Halimah berkata dalam isu penstrukturan semula industri air Selangor, Khalid pernah membentangkan perkara tersebut ketika mesyuarat Exco malah menyatakan isu berkenaan telah berlarutan sejak lima tahun lepas.
mStar

No comments:

Post a Comment