ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KRISIS POLTIK SELANGOR : KHALID MINTA SEMUA PIHAK HORMATI TITAH SULTAN

Monday 18 August 2014

KRISIS POLTIK SELANGOR : KHALID MINTA SEMUA PIHAK HORMATI TITAH SULTAN

PETALING JAYA: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta semua pihak terutama pemimpin politik menghormati titah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan tidak membuat kenyataan yang boleh mengundang tanggapan negatif terhadap Sultan Selangor berhubung krisis politik di negeri itu.
Abdul Khalid berkata, beliau menghormati titah Sultan Selangor pada Isnin  supaya beliau menunggu sehingga baginda kembali ke tanah air bagi menyelesaikan krisis politik di Selangor khususnya membabitkan kedudukan menteri besar.
"Saya menghormati dan akur nasihat Sultan Selangor supaya saya menghadap selepas baginda kembali ke tanah air.
"Saya menyeru semua pihak terutama pemimpin politik menghormati titah Sultan dan menghindarkan diri dari membuat kenyataan yang boleh mengundang tanggapan negatif terhadap Sultan Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Abdul Khalid berkata, sehingga hari menghadap Sultan Selangor, beliau dan barisan exco akan menjalankan tugas seperti biasa bagi menjamin pentadbiran serta pengurusan negeri berjalan lancar dan baik.
Minggu lalu, Sultan Selangor menitahkan supaya Abdul Khalid tidak membuat apa-apa keputusan atau pengumuman berkenaan jawatan menteri besar sehingga baginda pulang pada 27 Ogos ini.
Perkembangan terbaharu politik di Selangor menyaksikan Abdul Khalid tidak lagi mendapat sokongan daripada PAS selepas Jawatankuasa PAS Pusat  memutuskan bahawa parti itu mahu kedudukan beliau digantikan.

Dengan itu secara automatik Abdul Khalid hilang sokongan majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor apabila kesemua 43 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat menolak beliau sebagai menteri besar.

No comments:

Post a Comment