ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PAS PUSAT SAMBUT BAIK PENUBUHAN JAWATANKUASA BERSAMA TANGANI PASCA BANJIR KELANTAN

Wednesday 7 January 2015

PAS PUSAT SAMBUT BAIK PENUBUHAN JAWATANKUASA BERSAMA TANGANI PASCA BANJIR KELANTAN


KENYATAAN MEDIA PAS Pusat menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir Peringkat Negeri Kelantan hasil persetujuan bersama antara Putrajaya dan Kota Darul Naim.

Hubungan erat dan kerjasama baik di peringkat ‘Government to Government’  ini adalah merupakan episod baru dalam sejarah pentadbiran PAS di Negeri Kelantan semenjak tahun 1990.

Hubungan baik ini sewajarnya sudah sekian lama dibina kerana semangat federalisme itu ada termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.

Perbezaan idelogi politik parti pemerintah di peringkat pusat dan negeri tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menafikan hak rakyat yang sepatutnya dibela oleh semua pihak.

Segala luka lama seperti penderaan terhadap rakyat Kelantan yang dinafikan hak mendapat royalti minyak, lebuhraya yang sempurna, dan pelbagai peruntukan yang disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) hendaklah diubati segera.

Usahlah mengulangi kezaliman penarikan royalti minyak ketika PAS mentadbir Negeri Terengganu dahulu.

Semangat federalisme yang tulen itu menjamin keadilan dan hak untuk semua rakyat tanpa menjadikan perbezaan idelogi politik sebagai tembok penghalang.

Atas semangat ini jugalah hubungan rasmi yang dijalin antara kerajaan pusat dan negeri boleh dibina dengan baik tanpa menimbulkan polemik kewujudan kerajaan campuran antara UMNO dan PAS di Kelantan.

PAS dengan penuh harapan agar episod baru dalam hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri ini akan membawa rahmat kepada seluruh rakyat yang baru ditimpa musibah serta mengangkat lembaran politik baru yang lebih matang, terbuka dan demokratik.

YB Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS Pusat

No comments:

Post a Comment