ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PEMIMPIN PAS SOKONG HADI BANTAH CADANGAN DAP ADAKAN PILIHAN RAYA PBT

Sunday, 25 January 2015

PEMIMPIN PAS SOKONG HADI BANTAH CADANGAN DAP ADAKAN PILIHAN RAYA PBT

Para pemimpin Pas menyokong kenyataan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu DAP membatalkan niat untuk melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas tidak bersetuju dengan pilihan raya PBT yang mahu dilaksanakan DAP itu kerana akan mewujudkan monopoli satu kaum sahaja sekali gus mencetuskan sensitiviti antara masyarakat bandar.
Katanya, selain tidak pernah dipersetujui majlis pimpinan pakatan pembangkang, cadangan itu tidak pernah diletakkan dalam manifesto pilihan raya umum pakatan pembangkang serta tidak dinyatakan dalam Buku Jingga.
“Berbeza dengan pelaksanaan hudud di Kelantan, cadangannya telah dibuat sejak tahun 1993 dan juga terkandung dalam manifesto pilihan raya Pas Kelantan, maka ia perlu dilaksanakan setelah parti itu diberi mandat oleh rakyat Kelantan sebagai memenuhi janji kepada rakyat negeri itu,’’ katanya.
Semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa pilihan raya PBT yang diperjuangkan DAP akan hanya mencetuskan suasana tidak stabil dan melebarkan jurang masyarakat apabila memberi ‘keuntungan’ kepada penduduk bandar yang majoritinya kaum Cina sekali gus menimbulkan kebimbangan mengulangi peristiwa 13 Mei.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah turut mendesak DAP membatalkan niat untuk melaksanakan pilihan raya PBT tersebut sebagai menghormati keputusan pakatan pembangkang yang tidak pernah menyatakan persetujuan kepada cadangan itu.
“Kenyataan Abdul Hadi dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali amat jelas berhubung isu ini, jadi kita minta DAP membatalkan niat mereka untuk melaksanakan cadangan itu. Jika DAP mahu Pas menghormati keputusan pakatan pembangkang dalam isu hudud, maka mereka juga perlu membuat perkara sama sebelum meneruskan hasrat mereka itu,’’ katanya.
Mengulas isu sama, Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad menegaskan, tindakan Pas berdiam diri berhubung hasrat DAP melaksanakan pilihan raya PBT bukan bermakna mereka bersetuju dengan cadangan itu sebaliknya dibuat demi menjaga keharmonian pakatan pembangkang.
“Sekarang ini dia bising (pasal isu hudud) sedangkan hudud tidak ada kena mengena dengan bukan Islam selain telah diperjuangkan Pas sekian lama sebelum terbentuk pakatan pembangkang, sedangkan cadangan pilihan raya PBT itu terang-terang menguntungkan satu kaum sahaja, nasib Melayu nanti hanya jadi penonton,’’ katanya.
Sementara itu, bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Nordin berkata, hasrat DAP itu menunjukkan parti tersebut tidak berminat merapatkan jurang ekonomi antara kaum yang masih lebar.
Katanya, perkara itu juga dapat dilihat dalam pentadbiran DAP di Pulau Pinang ketika ini yang mana tidak ada usaha jelas ditunjukkan parti berkenaan untuk merapatkan jurang ekonomi antara kaum Cina dan Melayu.
“Peratus penguasaan ekonomi orang Melayu ketika DAP mengambil alih negeri ini lebih enam tahun lalu tidak langsung meningkat terutama di Georgetown yang mencatatkan hanya dua peratus kerana rata-rata orang Melayu di bandar bekerja makan gaji.
“Malah, kita juga dapat lihat kedua-dua PBT di negeri ini iaitu di bahagian pulau dan Seberang Perai dikuasai DAP,” katanya.

No comments:

Post a Comment