ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TMB KELANTAN SELAR TUDUHAN TERHADAP JAKIM PROMOSI FAHAMAN EKSTREMIS

Wednesday 14 January 2015

TMB KELANTAN SELAR TUDUHAN TERHADAP JAKIM PROMOSI FAHAMAN EKSTREMIS



Kota Bharu – Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyelar tindakan seorang peguam yang mendakwa kononnya Jabatan Kemajuan Islam  Malaysia (Jakim) mempromosikan fahaman ekstremis di negara ini.

Mohd Amar, yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kelantan, berkata kenyataan seperti itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh mana-mana pihak termasuk umat Islam sendiri yang dilihatnya boleh mencetuskan ketegangan agama.

“Khutbah pada setiap Jumaat adalah medium untuk kita (umat Islam) menghayati agama Islam itu sendiri. Khutbah bukanlah bertujuan untuk melahirkan pelampau agama,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Jumaat lepas, peguam itu didakwa membuat kenyataan tersebut di laman sosial Twitternya dan ianya dipadam kelak susulan kritikan pelbagai pihak.

Sementara itu, pensyarah kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata beliau kesal dengan dakwaan oleh peguam itu yang sepatutnya lebih faham dengan undang-undang negara.

“Saya kesal dengan tindakan beliau yang berselindung di sebalik hak asasi untuk melakukan perkara yang bercanggah dengan perlembagaan dan undang-undang negara.

“Sepatutnya sebagai seorang pengamal undang-undang, beliau lebih tahu dan hormat kepada perlembagaan dan undang-undang negara bukannya mencabarnya,” kata Kamarul Zaman ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau turut menyokong tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah menahan peguam terbabit semalam dan menyiasat kes berkenaan di bawah Akta Hasutan 1948.

“Sangat wajar untuk peguam itu dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan di atas komennya yang mempersoalkan kandungan khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jakim yang didakwa menyemaikan ekstremisme itu.

“Bukan sekali ini sahaja, beliau juga didakwa pernah mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti umat Islam, malah berulang kali termasuk kenyataan-kenyataan beliau yang didakwa menghina hukum Islam (hudud) dengan menyifatkannya sebagai lapuk dan kejam,” katanya.
Bernama

No comments:

Post a Comment