ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: "GUANG ENG PEMBOHONG" - TAKIYUDIN

Friday 30 January 2015

"GUANG ENG PEMBOHONG" - TAKIYUDIN

alt

Pergolakan politik antara Pas dan DAP dilihat semakin parah.

Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan mendakwa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai ‘berbohong’ apabila mengeluarkan kenya­taan bahawa kedua-dua parti tersebut tidak pernah mengadakan perbincangan tentang perlaksa­naan hukum hudud di negeri ini.

Pendedahan Takiyudin itu dibuat berikutan kenyataan Guan Eng sebelum ini yang menuduh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung parti itu, Mustafa Ali tidak jujur berhubung isu perlaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Tegas Takiyudin, kedua-dua parti itu pernah mengadakan perbincangan rasmi mengenai perkara itu pada tahun 2012 yang turut dihadiri pemimpin tertinggi DAP seperti Penasihatnya, Lim Kit Siang, mendiang Karpal Singh dan beberapa lagi pemimpin lain.

“Saya hendak sebut di sini, dia (Guan Eng) pernah kata Pas tidak pernah bincang mengenai hudud dengan DAP. Padahal pada tahun 2012 iaitu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 telah ada perbincangan mengenainya (hudud) yang bertempat di pejabat DAP di Kuala Lumpur.

“Ia telah dihadiri semua pemimpin tertinggi DAP termasuk Kit Siang, Karpal dan dari Kerajaan Pas Kelantan pula diwakili saya, Datuk Mohd. Amar Abdullah (Timbalan Menteri Besar), Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri ) dan Mustafa sendiri.

“Tuduhan Guan Eng bahawa Pas tidak pernah bincang dengan DAP mengenai hudud adalah tidak betul. Saya sebagai Ahli Parlimen juga telah beri penerangan mengenai undang-undang ini kepada Ahli Parlimen DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Guan Eng yang sejak akhir-akhir ini terus menyerang Pas termasuk terbaharu berhubung isu perlaksanaan pilihan raya PBT.

Guan Eng sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan dalam sebuah portal propembangkang yang mendakwa beliau telah menghubungi Abdul Hadi dan Mustafa untuk berbincang tentang perlaksanaan pilihan raya PBT sebelum memulakan kempen undi di Pulau Pinang.

Kenyataan Guan Eng itu sekali gus telah mengundang ketegangan antara kedua-dua parti itu apabila semalam Mustafa melepaskan geram dengan mencabar Guan Eng bersemuka sambil menyifatkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai seorang bermulut celupar kerana mengeluarkan kenyataan tidak betul.

Sementara itu, Takiyudin menyokong penuh kenyataan Mustafa yang menyifatkan Guan Eng sebagai seorang bermulut celupar sambil mengharapkan ia akan memberi kesedaran kepada pemimpin DAP itu.

“Kenyataan itu adalah adil apabila Setiausaha Agung DAP itu terus menyerang Pas. Itulah reaksi sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, Takiyudin berkata, Pas tetap akan tetap melaksanakan hudud di Kelantan walaupun mendapat tentangan hebat daripada DAP.

“Mereka tidak setuju, dia perlu hormati Pas. Enakmen ini sudah ada sejak tahun 1993 lagi sebelum wujudnya pakatan pembangkang pada tahun 2008,” katanya.
RakyatNews

No comments:

Post a Comment