ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: GURU BENGANG !!!

Friday, 16 January 2015

GURU BENGANG !!!

Siti Saloma bersama resit sebagai bukti dia menghantar 'notebook' ke pusat servis berkenaan.

SHAH ALAM – Seorang guru Fizik sebuah Sekolah Menengah di Cheras bengang apabila 'notebook' yang dihantar ke sebuah pusat servis komputer di sebuah pasar raya di Bukit Bintang sejak hujung tahun 2013 masih gagal diperoleh.

Guru yang mahu dikenali sebagai Siti Saloma, 47, berkata, sudah lebih setahun 'notebook' milikinya tidak dipulangkan oleh pusat servis berkenaan.

“Suami dan anak lelaki saya membeli 'notebook' jenama terkenal itu di salah sebuah kedai di situ dengan harga sekitar RM1,400 bagi kegunaan sesi pembelajaran dan pengajaran di sekolah. Bagaimanapun, selang beberapa bulan kemudian papan kekuncinya rosak.

“Memandangkan tempoh jaminannya hingga setahun, saya hantar 'notebook' itu ke pusat servis jenama itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pihak berkenaan berjanji masalah itu akan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan.

“Malangnya, selepas tempoh itu sekitar bulan Ogos, saya kembali ke pusat servis itu bagaimanapun kecewa selepas dimaklumkan ia belum siap dibaiki.

“Saya kemudiannya mengadu menerusi talian Helpline dan mereka berjanji untuk menggantikan saya 'notebook' yang baru dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Bagaimanapun, ketika dia kembali ke pusat servis selepas dua minggu dijanjikan, dia sekali lagi kecewa dan mendakwa seolah-olah dipermainkan.

“Saya perlukan 'notebook' itu untuk melancarkan sesi pengajaran dan saya amat kecewa kerana terpaksa menunggu untuk tempoh yang lama.  

“Saya terkilan tindakan pusat servis itu yang seolah-olah main tarik tali dengan saya,” katanya dengan nada kecewa.

Beliau tidak akan teragak-agak membuat laporan polis termasuk Tribunal Pengguna untuk menuntut hak dan keadilan sekiranya 'notebook' yang dijanjikan tidak dipulangkan.

Sementara itu, sumber Pusat Asus di Petaling Jaya ketika dihubungi berkata, berdasarkan resit yang diterima pada 22 Mei lalu, pihak syarikat akan menyerahkan unit 'notebook' yang baharu kepada Siti Saloma secepat mungkin.

“Sebelum itu, pemilik dikehendaki menghantar resit pembelian 'notebook' ke e-mel Asus di support-my/asus.com dan juga nama kedai tempat dia membeli 'notebook' bagi membolehkan kita memproses maklumat-maklumat sebelum penyerahan dibuat.

“Itu adalah prosedur kita. Selepas semua maklumat itu diemelkan, penyerahan akan dibuat. Kami harap beliau dapat serahkan maklumat dikehendaki dalam kadar segera,” katanya ketika dihubungi, semalam.
SH

No comments:

Post a Comment