ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: SPRM BERI AMARAN PEMOHON BANTUAN BANJIR TIDAK PALSUKAN MAKLUMAT !!!

Wednesday 21 January 2015

SPRM BERI AMARAN PEMOHON BANTUAN BANJIR TIDAK PALSUKAN MAKLUMAT !!!


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi amaran pemohon bantuan banjir tidak memalsukan maklumat untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, penerima bantuan perlu berlaku jujur dan telus agar tidak mengambil hak orang lain.
"Sekiranya ada di antara pemohon yang memalsukan maklumat atau melakukan penipuan dokumen dan sebagainya, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan," kata Mustafar ketika menyampaikan taklimat khas mengenai Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir di pejabat SPRM Negeri Kelantan di Kota Bahru Selasa.
Pada sesi taklimat itu, Mustafar turut menunjukkan borang Pengesahan Daftar Nama Penerima Bantuan Ihsan. Borang tersebut sebagai aku janji tidak ada pemalsuan atau penipuan oleh pemohon bantuan ihsan.
Hukuman denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan dan penjara sehingga tempoh 20 tahun boleh dikenakan sekiranya disabit kesalahan.
"Penyaluran bantuan perlu sampai kepada yang benar-benar layak sahaja dan sebarang bentuk ketirisan atau penipuan semasa bantuan itu disampaikan perlu dicegah dari peringkat awal lagi," katanya.
Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir ini melibatkan tiga agensi utama iaitu SPRM, Jabatan Audit Negara dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Ia ditubuhkan pada 12 Januari 2014.
"Ia (Jawatankuasa) bagi mempastikan pengurusan dana dan tabung banjir dikendalikan dengan telus dan teratur serta bebas daripada penyelewengan dan salah laku," kata beliau lagi.
Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir akan meneliti sebarang aduan mengenai salah laku pengurusan bantuan kepada mangsa banjir, membantu kerajaan dalam memastikan pengurusan tabung dan dana yang telus dan teratur serta sampai kepada mangsa-mangsa banjir, mengkaji dan mencadangkan penambahbaikan integriti sistem penyampaian dan pengurusan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir; serta mempertingkatkan kesedaran pengurusan integriti dalam penyampaian bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.
Menurut Mustafar, setakat ini sebanyak 50 panggilan telah diterima oleh Bilik Gerakan Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir.
Daripada jumlah itu, 38 panggilan adalah berkaitan dengan pertanyaan umum mengenai banjir manakala baki berkaitan aduan ketidakpuasan hati terhadap agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM Negeri Kelantan, Dato Abd Aziz memberitahu, terdapat maklumat yang tidak tepat diberikan oleh sesetengah penghulu berhubung pemberian dana bantuan banjir.
Katanya, SPRM akan memberikan nasihat kepada penghulu terlibat supaya maklumat serta informasi yang tepat sahaja perlu disampaikan kepada orang ramai.
"SPRM Negeri Kelantan akan mengadakan pertemuan dengan semua Penghulu di Negeri Kelantan secara berperingkat, bermula 25 Januari ini," kata Aziz

No comments:

Post a Comment