ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: 3,000 KHEMAH DISEDIAKAN UNTUK PENEMPATAN SEMENTARA MANGSA #BANJIR

Tuesday, 6 January 2015

3,000 KHEMAH DISEDIAKAN UNTUK PENEMPATAN SEMENTARA MANGSA #BANJIR

GUA MUSANG – Kerajaan menyediakan 3,000 khemah untuk dijadikan kediaman sementara bagi mangsa yang kehilangan rumah atau rosak teruk di negeri-negeri yang dilanda bencana banjir.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata khemah itu akan dipasang secara berperingkat di kawasan yang mangsa memerlukan kediaman segera seperti di jajahan Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan.

Katanya di Gua Musang, 171 khemah akan dipasang di satu tapak berhampiran kawasan Bandar Utama dan jumlahnya akan ditambah jika ada lagi mangsa yang memerlukan kemudahan tersebut.

Bercakap kepada pemberita ketika melancarkan pemasangan khemah di Bandar Utama di sini, hari ini beliau berkata,kerajaan akan menyediakan kemudahan yang mencukupi di penempatan sementara itu seperti bilik mandi, tandas dan ruangan solat.

“Khemah ini ada pelbagai saiz … jika sesebuah keluarga itu mempunyai bilangan anggota yang ramai, kita akan beri khemah bersaiz besar,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini belum dapat dipastikan selama mana mangsa banjir itu akan dibenarkan tinggal di khemah.
Bernama

No comments:

Post a Comment