ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: LIWAT II : PROSIDING HARI KELAPAN PALING PENDEK DALAM SEJARAH, KEPUTUSAN DIUMUM KEMUDIAN

Friday 7 November 2014

LIWAT II : PROSIDING HARI KELAPAN PALING PENDEK DALAM SEJARAH, KEPUTUSAN DIUMUM KEMUDIAN


PUTRAJAYA: Prosiding rayuan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masuk hari kelapan hari ini bakal menyaksikan sambungan hujahan balas pasukan pembelaan.

Baki hujahan daripada bekas hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai barisan peguam Anwar dijangka bertambah menarik dengan penekanan isu-isu penting dalam kes tersebut.

Semalam, Ketua Hakim Tun Arifin Zakaria memberikan masa sebanyak 15 minit lagi bagi Gopal menghabiskan hujahan, dan ia bakal diikuti sesi hujah balas peguam dakwa, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Prosiding yang berjalan semalam berlangsung dari jam 9.30 pagi dan berakhir pada 7 malam.

Ia merupakan sesi paling lama sejak prosiding ini bermula pada Isnin, 28 Oktober lalu.

Memandangkan banyak isu baharu diketengahkan dalam prosiding ini berbanding di Mahkamah Rayuan sebelum ini, banyak pihak tidak menjangkakan barisan panel lima hakim dapat membuat keputusan segera pada penghujung sesi prosiding petang ini.

Walau bagaimanapun, rata-rata pemerhati bersedia dengan sebarang kejutan walaupun tiada ketetapan atau makluman sah mengenai perkara tersebut.

Berikut adalah perkembangan terkini dalam Bilik Bicara 1, Mahkamah Persekutuan, Putrajaya:

4.00 petang: Gopal dan Shafee malah para peguam dari kedua-dua pihak pendakwa dan pembela dilihat masih berbual serta ketawa sesama sendiri selepas berakhirnya sesi prosiding paling pendek sepanjang kes ini.

3.55 petang: Prosiding ditangguh ke suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

3.50 petang: Penghujahan terhenti seketika apabila hakim Tan Sri Suriyadi mengatakan bahawa barisan hakim hanya menerima sehingga Jilid 13 hujahan pendakwa sedangkan Shafee membacakan hujahan dari Jilid 14.

Shafee mahu menyentuh tentang isu Dr Brian McDonald tetapi Hakim Tu Arifin Zakaria mengatakan bahawa mahkamah perlu beralih dari isu tersebut. Gopal berkata, jika itu yang dibangkitkan barisan pendakwa, tiada isu baginya untuk menjawab hujah.

3.45 petang: Gopal mengakhiri hujahnya dan kini giliran peguam dakwa Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membalas hujah.

Hakim meminta Shafee memberi tumpuan pada isu baharu supaya menjaga masa.

3.40 petang: Isu Anwar yang sering menjaja aspek 'konspirasi' dalam kesnya. Menurut Gopal, tindakan itu boleh diterima dan dimaafkan memandangkan pengalaman yang dihadapi Ketua Pembangkang itu sepanjang hidupnya.

3.35 petang: Gopal kembali menyentuh tentang gambar majlis minum teh yang menjadi isu sebelum ini. Dalam hujah Gopal sebelum ini, ia menceritakan tentang keadaan Saiful yang dilihat 'ceria' selepas kejadian liwat yang dilaporkan.

3.15 petang: Panel hakim tiba di kamar mahkamah. Prosiding dimulakan. Gopal menyambung hujahnya semalam mengenai kredibiliti Dr Osman.

2.50 petang: Anwar tiba ke kamar mahkamah bersama Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali. Keluarga dan kenalan Anwar mula memenuhi tempat duduk di galeri awam.

Hormati proses undang-undang - Polis

PDRM
Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, meminta orang ramai supaya menghormati proses undang-undang dan memberi kerjasama kepada mahkamah berhubung keputusan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, orang ramai diminta bertenang dan menerima apa saja keputusan Mahkamah Persekutuan dan sebarang tindakan yang menentang atau melawan keputusan mahkamah menjadi kesalahan jenayah.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersedia mengawal keadaan walau apapun keputusan mahkamah nanti, jangan menunjukkan protes dengan melakukan perarakan, kekacauan, rusuhan atau pecah keamanan bagi mengganggu proses undang-undang.

"Bagi menentukan keselamatan dan ketenteraman awam dapat dikekalkan, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sebagaimana yang digariskan mengikut prosedur serta undang-undang sedia ada demi menjamin keamanan berterusan," katanya melalui kenyataan dikeluarkannya hari ini.

No comments:

Post a Comment