ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: IKLAN "JUALAN MURAH SEBELUM GST" SATU KESALAHAN

Wednesday 12 November 2014

IKLAN "JUALAN MURAH SEBELUM GST" SATU KESALAHAN


kpdnkk
KOTA BHARU – Awas bagi peniaga yang cuba mengelirukan pengguna berhubung cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Kementerian Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak teragak-agak untuk mengenakan kompaun pada mana-mana mereka yang ingkar di bawah Akta Perihal Dagangan dengan denda maksimum berjumlah RM100,000.

Kenyataan itu ditegaskan Ketua Setiausahanya, Datuk Sri Alias Ahmad di sini, semalam.

Menurut beliau, ada di antara peniaga mengambil kesempatan untuk menjual barangan mereka dengan menggunakan promosi kononnya menjual barangan dengan harga murah sebelum menjelangnya GST pada April depan.

“Ini satu kesilapan besar apabila mereka gunakan perkataan GST kerana ia tidak sah dan belum dilaksanakan lagi.

“Mereka perlu memahami maksud sebenar GST buat masa ini dan peniaga hanya boleh mendaftar perniagaan mereka melalui laman web dan bukannya melaksanakan GST dengan sendiri kerana ia menyalahi undang-undang,” katanya kepada sidang media selepas menghadiri kempen ‘Jom Bawa Bekal’ di Sekolah Kebangsaan (SK) Islah, semalam.

Turut hadir Pengarah PDNKK negeri, Ab Ghani Harun.

Dalam kempen terbabit, sekolah berkenaan dipilih sebagai sekolah terbaik dan menerima peruntukkan RM10,000 dalam pelaksanaan kempen berkenaan.

Pelaksanaan kempen itu di setiap sekolah, diharap dapat mengurangkan perbelanjaan kos hidup di samping mengeratkan hubungan ibu dan anak membawa bekal ke sekolah.

Sementara itu, Alias berkata, terbaru di Kelantan sebuah kedai perabot, dikenakan tindakan kompaun selepas menggunakan taktik ‘Jualan Murah sebelum GST’ dengan denda RM 30,000 di atas kesalahan terbabit di basah seksyen 8(2)(d) Akta Perihal Dagangan.

“Setakat ini, dua kes dilaporkan di Kelantan dan kita tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan isu GST yang menimbulkan kekeliruan.

“Jika berlaku penyalahgunaan berhubung GST terbabit dan dikesan, orang ramai boleh bertindak dan menyalurkan maklumat terus kepada pihak kami untuk tindakan susulan,” katanya.
Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment