ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: HARI KE-6 KES LIWAT II : PENDAKWAAN HUJAH FAKTA BAHARU, DIJANGKA TAMAT PETANG INI

Tuesday 4 November 2014

HARI KE-6 KES LIWAT II : PENDAKWAAN HUJAH FAKTA BAHARU, DIJANGKA TAMAT PETANG INI


PUTRAJAYA: Ketua Pendakwa Raya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijadual menamatkan hujah balas bagi pendengaran rayuan terakhir kes liwat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Masuk hari keenam pendengaran rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim, pasukan pendakwaan akan menyambung semula penghujahan berhubung kes liwat ketua pembangkang itu.

Ketua pasukan pendakwaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijangka membentangkan isu baharu pada prosiding yang bersambung pukul 9 pagi hari ini.

Beliau yang mengetuai pasukan pendakwaan dijangka mengambil masa lebih dua jam untuk menyempurnakan hujahnya bagi menjawab semua keraguan dibangkitkan pasukan peguam bela sebelum ini berhubung kes terbabit.

Beliau seperti dilapor media semalam akan memberi keterangan terperinci beberapa perkara baharu dalam hujahnya termasuk berkaitan dakwaan perlakuan liwat itu diadakan secara "suka sama suka" atau wujud paksaan.

"Kes-kes yang baharu, hujahan yang baharu...semua akan keluar (hari ini)," katanya.

Sehingga Isnin, Muhammad Shafee selesai membentangkan kira-kira 65 peratus daripada keseluruhan hujahnya.

Beliau dijangka menghabiskan hujahannya sehingga tengah hari ini sebelum memberi ruang kepada pasukan pembelaan menyampaikan hujah balas.

Shafee akan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Anwar diwakili peguam utama, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang juga merupakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan.

Prosiding berlangsung dihadapan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Empat peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sebelum ini sudah membahaskan hujah mereka bermula Selasa dan tamat pada Khamis lalu.

Rumusan rayuan kes liwat Ketua Umum PKR itu sama ada ia diputuskan hari ini atau pada satu tarikh lain dijangka dimaklumkan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan petang ini.
Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria mengetuai panel lima hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Anwar, 67, disabitkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan kerana meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, iaitu bekas pembantu peribadinya di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008.

Pada 24 April, Anwar memfailkan petisyen rayuan dengan memberi 35 alasan kenapa Mahkamah Persekutuan perlu membebaskan beliau daripada tuduhan meliwat, sejam sebelum berakhir tempoh yang disyaratkan beliau berbuat demikian.

Anwar tiba di bilik bicara 1 mahkamah kira-kira jam 8.50 pagi tadi dengan beberapa pemimpin pembangkang turut kelihatan antaranya, Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Anwar Mohon Maaf Sebelum Kembali Ke "KAJANG"

Perbicaraan rayuan ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk ketepikan hukuman penjara lima tahun memasuki hari keenam pada Selasa dan keputusan juga dijangka dibuat oleh lima panel hakim pada hari ini.

Sekiranya didapati bersalah, Anwar mungkin menjalani hukuman di Penjara Kajang di atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Saiful Bukhari Azlan.

Beliau yang menjangkakan keputusan tidak berpihak kepadanya memohon maaf diatas perjuangan reformasi bersama Pakatan Rakyat.

"Saudaraku, esok 4 November 2014 mungkin kali terakhir kita dapat menjejak tanah yang sama, berbumbung langit yang serupa dan menghirup udara yang tiada beza tanpa hadangan tembok penjara dan tirai besi. Rejim zalim Barisan Nasional menerusi aparatnya kelihat amat tidak sabar untuk kembali menghumban saya ke penjara,"

"Esok juga mungkin peluang akhir saya berjabat tangan dan menatap wajah saudara semua.Saya dan Azizah serta seluruh keluarga ingin memohon maaf jika terdapat salah dan silap yang kami lakukan sepanjang jalan perjuangan kita," katanya menerusi sebuah kenyataan.

Prosiding perbicaraan rayuan liwat II bersambung hari ini dengan pihak pendakwaraya diketuai Tan Sri Shafee Abdullah akan menghabiskan baki hujahnya kepada mahkamah.

Penyokong Anwar Berdegil Teruskan Perhimpunan Tanpa Permit
Para penyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berdegil apabila tetap menganjurkan perhimpunan tanpa permit di hadapan Istana Kehakiman di sini hari ini.
Penyokong Anwar berdemonstrasi di hadapan Istana Kehakiman sambil mengutuk institusi kehakiman yang didakwa berat sebelah.
Perhimpunan tersebut bertujuan meraih simpati orang ramai terhadap Anwar yang merayu atas hukuman penjara lima tahun terhadap kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada enam tahun lalu.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata, pihak penganjur tidak pernah memohon permit bagi mengadakan perhimpunan itu.

No comments:

Post a Comment