ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: 5,000 PENGIKUT AJARAN SESAT MILLAH ABRAHAM DIKESAN

Tuesday 14 October 2014

5,000 PENGIKUT AJARAN SESAT MILLAH ABRAHAM DIKESAN


Muadzam Shah – Satu ajaran sesat dikenali Millah Abraham dipercayai pecahan daripada Gerakan Pemuda Kahfi Indonesia yang difatwakan haram oleh Jabatan Mufti Pahang sekitar tahun 2009 dikesan di Felda Keratong, di sini, melibatkan 13 individu.

Jurucakap Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), berkata, pengikut ajaran sesat ini pada mulanya dikesan di Jerantut selepas ibu bapa kepada seorang pemuda di sana membuat aduan kerana berasa hairan dengan pendapat dan pandangan anaknya itu mengenai Islam.

“Ibu bapa pemuda berkenaan yang belajar di salah sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di Selangor telah membuat aduan kerana mendapati pendapat dan pandangan anak lelakinya itu agak bertentangan dengan ajaran Islam.

“Pihak penguat kuasa Jaip menemui pemuda itu dan menjalankan soal siasat seterusnya membongkar 13 lagi pengikut Millah Abraham berada di Felda Keratong, Muadzam Shah, Rompin,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Jurucakap Jaip menjelaskan, enam keluarga pengikut ajaran sesat Millah Abraham di Felda Keratong berjaya dikesan dan satu sesi taklimat mengenai ajaran sesat berkenaan diberikan di samping menjalankan soal siasat di Balai Polis Muadzam Shah, baru-baru ini.

Menurutnya, ajaran sesat yang didapati menyeleweng daripada akidah Islam itu dipercayai mempunyai ramai pengikut di Selangor dan kira-kira 5,000 pengikut seluruh Malaysia.

Katanya, pengamal ajaran sesat itu juga menyasarkan golongan muda yang kurang ajaran Islam menjadi medan dakwah mereka.

“Mereka (pengikut ajaran sesat Millah Abraham) mengaku bukan beragama Islam kerana mendakwa Islam bukan agama yang asli tetapi menganggap Millah Abraham adalah agama sebenar yang kononnya ajaran Nabi Ibrahim selain tidak makan daging sembelihan orang Islam.

“Terdapat enam fasa dalam ajaran sesat ini iaitu pertama, dakwah secara sembunyi dan ini sudah dilepasi, kedua adalah dakwah secara terang-terangan yang merupakan fasa terkini, ketiga fasa hijrah serta fasa keempat adalah jihad kital iaitu bunuh orang yang tidak
mengikut ajaran mereka, fasa kelima mewujudkan sistem pemerintahan sendiri dan keenam menubuhkan negara,” katanya.

Jurucakap itu berkata, fasa keempat dakwah ajaran sesat berkenaan mempunyai unsur militan dan pihak Jaip kini dengan kerjasama polis sedang melakukan pemantauan.

Selain itu, cara pengikut ajaran sesat ini bersembahyang adalah hanya dengan menyampaikan makna-makna yang terdapat dalam al-Quran melalui penggunaan Bahasa Melayu.

“Mereka mengiktiraf Nabi Muhammad SAW sebagai Rasulullah tetapi hanya pada waktu itu kerana mereka percaya ada nabi lain hingga kini selain mereka juga tidak berpegang pada hadis,” katanya. – Sinar Harian

No comments:

Post a Comment