KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia menubuhkan sebuah pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) bagi memantau isu kenyataan-kenyataan sensitif dalam media sosial.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata pasukan khas itu diketuai Timbalan Pengarah JSJ (Siasatan dan Perundangan) Bukit Aman, Datuk Amar Singh Ishar Singh.
“Laman sosial kini menjadi satu platform individu tertentu mengeluarkan kenyataan seperti hasutan, menghina dan menyentuh sensitiviti kaum di negara ini.
“Sehubungan itu, pasukan ini ditubuhkan khususnya untuk melihat kesalahan melibatkan internet,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penganugerahan surat penghargaan kepada pengguna jalan raya berhemah dan kontinjen atau daerah terbaik Op Selamat 5/2014 bersempena Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini (11 Ogos).
Mohd Bakri berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung penularan kenyataan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan memainkan isu perkauman dan menyentuh sensitiviti agama menggunakan akaun laman sosial Facebook.
Ketika diminta mengulas saranan agar pesalah media sosial ini disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Mohd Bakri berkata siasatan daripada pihaknya akan merangkumi semua aspek.
“Susah untuk kita buktikan sesuatu kesalahan itu kerana penggunaan internet sangat meluas. Jadi kita perlu melihat daripada semua aspek sama ada mahu menggunakan Akta SOSMA atau sebagainya kerana undang-undang ini adalah undang-undang yang sedia wujud,” katanya.
Bakri berkata polis tidak akan mengambil tindakan berhubung sesuatu isu itu tanpa fakta dan bukti yang jelas.
“Kita melihat tindakan kita terhadap sesuatu isu tersebut dengan fakta yang sedia ada mengambil tindakan tertentu, kamu tidak boleh meminta kita untuk mengambil tindakan yang sama dengan isu yang berbeza.
“Macam Facebook, anda kena melihat alamat dan kebanyakannya di luar negara dan kadang-kadang nama yang berkenaan ada lima hingga enam orang, jadi kami perlu mengenal pasti individu itu, di sini saya meminta orang awam untuk memberi maklumat untuk kita melakukan tugas kita,” katanya.
Mohd Bakri juga berkata polis menyambut baik jika kerajaan mempertimbang cadangan mewajibkan semua pemilik akaun Facebook berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi memudahkan pengenalpastian identiti pemilik akaun.
“Kita bersetuju sekiranya perlu kerana kita melihat dari segi keselamatan dan keharmonian negara. Jika perlu kita akan membuat cadangan tertentu bagi memastikan cadangan itu diterima oleh orang awam,” katanya.
Cadangan supaya kerajaan mewajibkan pemilik akaun Facebook berdaftar dengan MCMC dikemukakan pensyarah kanan Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Mohamad Md Yusof.
Ia adalah susulan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada Jumaat lepas bahawa kerajaan akan mengkaji kewajaran untuk menutup laman sosial Facebook ekoran pelbagai penyalahgunaan yang timbul daripada laman itu.
Katanya kementerian itu akan menjalankan kajian untuk mengumpul pandangan orang ramai berhubung perkara itu. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment