ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KENYATAAN RASMI PKR & DAP ISU MB SELANGOR

Tuesday 12 August 2014

KENYATAAN RASMI PKR & DAP ISU MB SELANGOR

Pakatan pembangkang tanpa disertai PAS semalam mengeluarkan kenyataan rasmi sebagai respons kepada kenyataan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa beliau mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk terus memegang jawatan Menteri Besar Selangor.
Kenyataan rasmi yang cuma dikeluarkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP itu antara lain menegaskan pakatan pembangkang akan meneruskan langkah menggulingkan Abdul Khalid dengan menggunakan undang-undang tubuh negeri dan enakmen Selangor.
PKR dan DAP turut menegaskan Abdul Khalid sudah hilang kepercayaan 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor iaitu separuh dari jumlah ADUN di Selangor kerana beliau tidak lagi mendapat sokongan kedua-dua parti tersebut sebagai Menteri Besar Selangor.
Berikut adalah kenyataan media bersama pakatan pembangkang (PKR dan DAP) yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agong PKR, Saifudiin Nasution Ismail dan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua:
KENYATAAN MEDIA
PARTI KEADILAN RAKYAT & PARTI TINDAKAN DEMOKRATIK (DAP)
TAN SRI KHALID IBRAHIM PERLU BUKTIKAN SOKONGAN MAJORITI DEWAN
KEADILAN dan DAP mengambil maklum kenyataan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas mengadap DYMM Tuanku Sultan Selangor pagi ini bahawa beliau akan kekal menjadi Menteri Besar kerana mempunyai sokongan majoriti dari kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor.
KEADILAN dan DAP telah menyatakan secara terbuka bahawa YAB Tan Sri Khalid Ibrahim tidak lagi mendapat sokongan kedua-dua parti ini sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor. Ini bermakna YAB Tan Sri Khalid Ibrahim sudah hilang kepercayaan 28 ADUN iaitu separuh dari jumlah ADUN di Selangor.
PAS pula belum membuat keputusan mengenai sokongan mereka kepada YAB Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar dan Jawatankuasa PAS Pusat hanya akan bermesyuarat pada 17 Ogos 2014 ini.
Oleh yang demikian, kenyataan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim kepada pihak Istana bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri itu adalah meragukan.
Dengan penolakan terbuka KEADILAN dan DAP, itu juga bermakna YAB Tan Sri Khalid Ibrahim hanya boleh mempunyai sokongan majoriti dengan mendapat sokongan dari 12 ADUN UMNO.
Oleh yang demikian, KEADILAN dan DAP mendesak supaya:
YAB Tan Sri Khalid Ibrahim membuktikan kepada rakyat jelata sokongan majoriti yang diperolehi oleh beliau itu seperti mana yang beliau dakwa. Ini termasuklah memanggil sidang Dewan Undangan Negeri untuk melakukan undi kepercayaan atau cara-cara lain yang boleh membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan dari ADUN PAS dan UMNO;
UMNO menyatakan secara terbuka bahawa 12 ADUN UMNO menyokong YAB Tan Sri Khalid Ibrahim seperti mana yang didakwa oleh beliau. Jika 12 ADUN UMNO tidak menyokong YAB Tan Sri Khalid Ibrahim, maka jelaslah beliau telah mempersembahkan maklumat palsu kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor.
KEADILAN dan DAP akan terus menggunakan segala kaedah mengikut Undang-undang Tubuh Negeri dan enakmen yang berkenaan untuk mengembalikan tampuk pemerintahan Kerajaan Selangor kepada Pakatan Rakyat yang dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya umum yang lepas. Langkah seterusnya mengikut Undang-undang Tubuh Negeri akan dimaklumkan selepas pimpinan Pakatan Rakyat terus bermesyuarat mencari muafakat menyelesaikan perkara ini dengan baik.
SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL

Setiausaha Agong KEADILAN

TONY PUA

Pengerusi DAP Selangor

11 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment