ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: MB SELANGOR : PAS SOKONG KHALID, DAP SOKONG AZIZAH

Sunday 10 August 2014

MB SELANGOR : PAS SOKONG KHALID, DAP SOKONG AZIZAH

DAP Sokong Khalid Digantikan Dengan Wan Azizah

KUALA LUMPUR: DAP menyokong pendirian Pakatan Rakyat untuk menggantikan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ibrahim. Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, parti tetap dengan pendirian menyokong keputusan Pakatan Rakyat untuk menggantikan Khalid dengan Wan Azizah. "Semua 15 ahli Dewan Undangan (Adun) DAP Selangor telah menyatakan sokongan penuh mereka berhubung jawatan ini dan kerajaan PR Selangor masih kukuh dengan 43 orang Adun dalam jumlah keseluruhan 56 Adun, walaupun dengan pengusiran Khalid," kata Lim.

Bercakap pada sidang akhbar di ibu pejabat parti itu pada Ahad, Lim menambah: "Khalid juga tidak lagi mempunyai mandat demokrasi dan kuasa yang sah untuk kekal sebagai MB dan oleh itu harus meletak jawatan."

Beliau berkata ketiga-tiga wakil rakyat DAP di dalam Majlis Eksekutif akan kekal dengan jawatan mereka sehingga MB baharu dilantik, sambil menambah adalah perlu untuk memastikan pentadbiran berterusan di negeri ini sehingga krisis itu ditangani.

Lim berkongsi isu yang dibincangkan semasa mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu, sambil menambah DAP menentang sebarang cubaan Barisan Nasional atau kerajaan Persekutuan untuk mengharamkan atau menutup rangkaian sosial, Facebook.

Beliau menjelaskan ia melanggar jaminan bahawa tiada penapisan internet di Malaysia dan menafikan hak rakyat Malaysia untuk kebebasan bersuara.

"Ini juga menafikan golongan muda untuk berkomunikasi melalui platform media sosial manakala memusnahkan perniagaan yang bergantung kepada rangkaian sosial," katanya sambil menambah parti itu akan mengadakan demonstrasi besar terhadapnya.

PAS Tidak Kisah Jika Terpaksa Keluar PKR !!!

KOTA BHARU - Dewan Ulama Pas Pusat hari ini senada dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bersedia jika parti itu ditakdirkan keluar daripada gabungan parti pembangkang berikutan pendapat yang berbeza mengenai kedudukan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pemangku ketua dewan berkenaan, Datuk Ahmad Yakob berkata mengikut sejarah, parti itu sendiri pun pernah berjuang bersendirian selepas keluar daripada komponen Barisan Nasional (BN) dan juga pakatan pembangkang bersama Semangat 46.

"Seandainya kita (Pas) bersendirian kita terima. Ini sejarah-sejarah yang telah disebut oleh Tok Guru (Nik Abdul Aziz). Laluan Pas ini bukan mudah. 

"Keputusan Majlis Syura Ulama Pas telah membuat ketetapan mengenai keputusan itu. Ia  merujuk kepada lunas-lunas perlembagaan semasa membuat keputusan itu," katanya kepada  pemberita selepas menghadiri sambutan Aidilfitri anjuran Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan di sini.

Dua hari lalu, dalam kenyataan bersama Nik Abdul Aziz dan timbalannya Datuk Dr Haron Din, Majlis Syura Ulama Pas telah menegaskan Abdul Khalid tidak boleh digugurkan selagi beliau tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkan beliau disingkirkan.

Semalam keadaan politik di Selangor semakin memuncak apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) memecat Abdul Khalid daripada parti itu berkuat kuasa serta merta setelah didakwa mengingkari keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat memilih Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

Mengulas isu yang sama, Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata Pas bagaimanapun mahu melihat isu itu diselesaikan dengan baik dan menafikan keadaan politik itu menyebabkan perpecahan dalaman gabungan pembangkang. 

"Tidak seperti itu. Ini suatu yang memberi kematangan dalam berpolitik dan saya minta biarlah semuanya bertenang dan mencari jalan keluar terbaik. 

"Kalau Dewan Undangan Negeri dibubarkan pun ia ada masalah juga," katanya.    

Ketika ditanya sama ada perlu Abdul Khalid menyertai Pas berikutan beliau kini merupakan anggota Dun Bebas, Ahmad berkata ia sebenarnya terpulang kepada Abdul Khalid sendiri untuk membuat keputusan. 

"Itu terpulang dan perkara itu kita tak boleh komen kerana itu adalah hak dia," katanya.
Bernama

No comments:

Post a Comment