KUALA LUMPUR - Program 'Doa Untuk Malaysia' bersempena sambutan Hari Kemerdekaan merupakan simbol kekuatan dan solidariti masyarakat Malaysia dalam menghadapi musibah yang menimpa negara.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Abu Talib Harun berkata, program yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 15 Ogos itu penting kerana ia melahirkan kesyukuran dan mengenang setiap tragedi pahit yang menimpa negara baru-baru ini.
"Kita mulakan sambutan kemerdekaan negara pada tahun ini yang bertemakan 'Di sini Lahirnya Sebuah Cinta' dengan 'Doa Untuk Malaysia' atas dasar keprihatinan dan mengenang segala musibah yang telah melanda negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program prapelancaran Doa Untuk Malaysia, di Pusat Pelancongan Malaysia 7 Ogos lepas.
Program itu anjuran bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Yayasan Pendidikan Cheras dan TV Al-Hijrah.
Mengimbas peristiwa pahit pencerobohan di Lahad Datu, kehilangan pesawat MH370, dan dikejutkan pula dengan peristiwa tragik pesawat MH17 yang dipercayai btelah ditembak jatuh di timur Ukraine cukup mendukacitakan seluruh warganegara.
"Program ini diharap menjadi wadah kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya supaya terus berdoa agar negara yang bakal menyambut hari kemerdekaan ke-57 ini tidak lagi digemparkan dengan berita-berita yang mendukacitakan," katanya lagi.
Mengulas berkenaan pengisian dalam acara itu, Abu Talib berkata acara bakal dimulakan dengan solat Maghrib, bacaan Yasin, tahlil, solat Isyak, dan seterusnya solat hajat berjemaah sebelum memulakan selawat dan Qasidah yang dialunkan bagi memohon kesejahteraan dan keamanan negara Malaysia.
Pendakwah terkenal dari Indonesia, Habib Syech Abdul Qadir Assegaf akan mengalunkan qasidah dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, turut mengiringi ialah kumpulan nasyid tempatan Inteam, Al-Mawlid dan Anak Warisan Kedah, kata Abu Talib.
Program itu akan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan kepimpinan tertinggi kerajaan, dengan menyasarkan kehadiran seramai 200,000 orang.
Bernama
No comments:
Post a Comment