ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KRISIS MB SELANGOR

Sunday 17 August 2014

KRISIS MB SELANGOR



Kemungkinan Besar Azmin Calon MB

Terdapat kemungkinan besar Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali akan dinamakan oleh parti sebagai calon baharu menteri besar Selangor untuk menggantikan penyandang Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Tidak ada lagi keraguan tentang hal itu. Kita akan dapatkan apa yang kita mahu, iaitu untuk mendapatkan Azmin bagi menggantikan Khalid," kata seorang anggota PKR yang juga Anggota Dewan Undangan (Adun) di Selangor.

Beliau menambah terdapat perselisihan besar dalam parti buat masa ini kerana kira-kira dua pertiga daripada ahli mahukan Azmin, bukan presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Khalid.

Beliau mendakwa PKR Selangor dan kepimpinan di lapan negeri lain telah meminta parti mengemukakan nama Azmin bersama-sama Dr Wan Azizah sebagai pengganti Khalid, tetapi ia telah ditolak oleh beberapa pemimpin tertinggi PKR dan penyokong mereka.

Sumber itu berkata para pemimpin berkenaan hanya mengemukakan satu nama kerana mereka tahu jika mereka mengemukakan nama Azmin, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilihat akan memilih beliau berbanding Dr Wan Azizah.

Beliau berkata pemimpin-pemimpin yang sama juga enggan menyerahkan nama Azmin bersama-sama dengan Khalid kepada Sultan selepas berakhirnya pilihan raya umum ke-13 tahun lepas.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak Khalid berpendapat bahawa peluang Azmin untuk menjadi menteri besar adalah cerah. 

"Sudah terdapat spekulasi meluas bahawa Azmin akan disyorkan sebagai menteri besar yang seterusnya sekiranya PAS menerima langkah untuk menggantikan Khalid," kata Mohamed Mustafa.

PAS, yang berpegang teguh pendirian enggan menyokong Dr Wan Azizah sebagai pengganti Khalid, dijadualkan mengadakan mesyuarat pada Ahad untuk memutuskan sama ada parti itu akan terus menyokong Khalid atau sebaliknya.

Jika pemimpin-pemimpin PAS bersetuju untuk Khalid digantikan, sumber-sumber Pakatan Rakyat berkata, nama Azmin dan Adun Ijok Dr Idris Ahmad akan dicadangkan sebagai alternatif.

Khalid Amat Mementingkan Diri

GEORGE TOWN: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim 'amat mementingkan diri sendiri' kerana masih mempertahankan kedudukannya, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Beliau berkata tindakan Khalid yang masih memegang jawatan menteri besar walaupun Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menunjukkan bahawa beliau telah mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor adalah tidak berperlembagaan. 

"Khalid perlu melepaskan jawatan. Mudah sahaja. 

"Ia juga bertentangan dengan prinsip demokrasi.

"Saya fikir apa yang dilakukan sangat mementingkan diri sendiri dan bukan untuk kepentingan demokrasi dan rakyat, begitu juga negeri dan Perlembagaan Persekutuan," katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Merdekaraya Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari di Pulau Tikus Sabtu.

Guan Eng, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata sudah dinyatakan dengan jelas dalam perlembagaan negeri apabila orang lain mendapatkan sokongan majoriti DUN, dia akan dilantik sebagai MB baharu.

UMNO Tidak Minat Sertai EXCO Khalid Ibrahim

Setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata parti itu tidak ingin mencampuri pentadbiran negeri Selangor bawah Tan Sri Khalid Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan ADUN Umno menyertai kabinet Selangor sebagai anggota exco.

“Kita tak masuk campur urusan pentadbiran Selangor. Kita serahkan kepada mereka (pentadbiran sedia ada),” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan bahawa wakil Umno mungkin dilantik ke kabinet Khalid untuk membentuk kerajaan minoriti, sekiranya empat exco PAS sedia ada meletak jawatan.

Krisis politik di Selangor kini berlarutan selepas Khalid memecat lima orang exco dari DAP dan PKR yang enggan menyokong beliau dalam krisis tersebut. Seorang lagi anggota exco, dari PKR, mengumumkan meletak jawatan, Khamis.

Tengku Adnan juga menegaskan bahawa Umno menyokong Khalid kerana tidak mahu isu bekalan air terus dijadikan modal politik PKR.

“Kita utamakan kepentingan rakyat. Kalau ada kepimpinan baru kita takut akan ada masalah dengan air.

“Kita takut mereka akan politikkan isu air di Selangor. Kita mengutamakan kepentingan rakyat, dan kita mahu mereka selesa,” kata Tengku Adnan.

Tindakan Khalid menandatangani perjanjian penstrukturan semua industri air juga menjadi atara sebab pemecatannya dari PKR, Sabtu lalu.

No comments:

Post a Comment