SHAH ALAM - Kemelut isu jawatan Menteri Besar Selangor dibincangkan selama hampir sejam semalam oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali kepada sebuah portal.
"Pertemuan itu berlangsung lebih kurang satu jam. Ya kita bincang isu MB Selangor," katanya yang turut serta dalam pertemuan itu.
Selain tiga tokoh itu, dua lagi yang turut serta dalam pertemuan di sebuah hotel di Kuala Ibai, Terengganu itu semalam adalah Setiausaha Politik Presiden Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Difahamkan ia adalah susulan daripada hasil perjumpaan sebelum ini yang mahu pemimpin-pemimpin tertinggi PR mengadakan pertemuan bagi mencari penyelesaian isu menteri besar.
"DAP juga turut maklum dengan pertemuan ini," kata Mustafa lagi.
Mustafa turut memberitahu, pertemuan sama telah berlangsung sebelum ini di antara Abdul Hadi dan pemimpin DAP.
Isu Menteri Besar Selangor akan dibincangkan dalam mesyuarat Pas Pusat pada 17 Ogos ini.
SH
No comments:
Post a Comment