KUALA LUMPUR – sebanyak enam pertukaran berlaku dalam senarai Pesuruhjaya Pas negeri-negeri yang baharu termasuk bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu digugurkan daripada menjadi Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang.
Turut digugurkan adalah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang sebelum ini merupakan Pesuruhjaya Pas Kedah, Mohamad Taufek Abd. Ghani (Negeri Sembilan), Adly Zahari (Melaka) dan Aminolhuda Hassan (Johor).
Kedudukan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Pesuruhjaya Pas Pahang digantikan oleh Rosli Jabar, manakala Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad dilantik untuk kembali menjadi Pesuruhjaya Pas Johor.
Muka-muka baharu lain yang dilantik adalah Pesuruhjaya negeri Pulau Pinang, Mohd. Fauzi Yusof, Datuk Ir. Amirudin Hamzah (Kedah), Mustafa Daharun (Negeri Sembilan) dan Kamarudin Sidek (Melaka).
Senarai baharu Pesuruhjaya Negeri-negeri sesi 2015-2017 itu telah dimuat naik dalam satu kenyataan dalam laman Facebook milik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Pas telah selesai melantik Pesuruhjaya Negeri-negeri sesi 2015-2017 dalam mesyuarat pertama parti itu baru-baru ini.
“Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Presiden Pas melalui Setiausaha Politiknya, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, pelantikan itu membabitkan kesemua negeri,” katanya kenyataan berkenaan.
Bagi jawatan Pesuruhjaya negeri lain-lain, kedudukan penyandang adalah kekal termasuk Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.
Muktamar Tahunan Pas Ke-61 di Kuala Selangor baru-baru ini disifatkan sebagai pertembungan golongan proulama dengan golongan profesional yang mana akhirnya menyaksikan golongan proulama berjaya menguasai jawatan penting dalam parti itu.
Antara yang tewas dalam pemilihan parti Pas adalah Mohamad atau Mat Sabu yang gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden dan Mahfuz yang gagal dalam percubaannya untuk menjadi Naib Presiden.
UTUSAN
No comments:
Post a Comment