ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: "PAS MASIH SEBAHAGIAN DARIPADA PAKATAN RAKYAT" TUAN IBRAHIM

Thursday 11 June 2015

"PAS MASIH SEBAHAGIAN DARIPADA PAKATAN RAKYAT" TUAN IBRAHIM

Hasil carian imej untuk tuan ibrahim tuan man

KUALA LUMPUR: Senarai nama jawatankuasa baharu parti PAS hanya akan diumumkan pada 21 Jun nanti, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau ditemui media selepas menghadiri mesyuarat pelantikan jawatankuasa baharu parti itu di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut di ibu negara pada Rabu.

"Malam ini hanya untuk membincangkan dan mengesahkan tentang nama-nama cadangan untuk jawatankuasa baharu dan lajnah-lajnah (pemilihan umum). Lain-lain perkara tidak dibincangkan," katanya.

Tuan Ibrahim memberitahu terdapat enam peruntukan tambahan dalam pelantikan jawatankuasa baharu namun senarai nama dan jawatan hanya akan diumumkan pada tarikh tersebut.

Tambahnya, mengikut prosedur biasa, pengisytiharan rasmi akan dibuat oleh Presiden PAS setelah individu-individu yang namanya dicadangkan itu diberitahu terlebih dahulu.

Beberapa nama daripada calon yang kalah dalam pemilihan Muktamar Tahunan PAS Ke-61 baru-baru ini juga difahamkan berada dalam senarai tersebut.

“Ya, biasa begitu. Setiap kali selepas muktamar, mereka yang tidak menang pun kita akan ambil balik,” kata Tuan Ibrahim.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Presiden, Timbalan dan Naib Presiden serta beberapa Ahli Majlis Tertinggi parti tersebut.

Apabila diajukan soalan mengenai kekeruhan hubungan antara PAS dengan DAP yang dilihat boleh menjejaskan rentak pentadbiran Pakatan Rakyat, Tuan Ibrahim mempunyai pandangan sendiri: “Tiada masalah. Bagi kita, pentadbiran berjalan macam biasa. PAS masih sebahagian daripada Pakatan Rakyat.

“Kalau dia tak mahu kerja, tak apalah. Tapi ini kerajaan bersama,” ujarnya tentang gerak kerja gabungan tiga parti di negeri-negeri seperti Pulau Pinang dan Selangor.

Bagaimanapun, isu hubungan antara PAS dan DAP, kata Tuan Ibrahim, akan diserahkan kepada Majlis Syura.

No comments:

Post a Comment