ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PILIH PEMIMPIN SELARI DENGAN HADI - DEWAN ULAMA PAS

Wednesday 3 June 2015

PILIH PEMIMPIN SELARI DENGAN HADI - DEWAN ULAMA PAS

GOMBAK: Perwakilan PAS digesa memilih barisan kepimpinan baharu yang selari dengan kepimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi menegakkan perjuangan Islam.
Seruan terbuka itu dibuat berikutan tindakan segelintir pimpinan tertentu parti Islam berkenaan yang sanggup bersekongkol dengan DAP dan PKR dalam pelbagai isu yang timbul dalam pakatan pembangkang.
Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamad berkata, sikap pemimpin berkenaan yang sanggup mengabaikan dan mempertikaikan arahan pemimpin tertinggi telah melemahkan PAS.
"Di saat hilangnya ketaatan lalu nakhoda (Hadi) sendiri dikecam dan dipertikaikan, dibiarkan untuk dicemuh oleh musuh dan rakan kerjasama politik...maka organisasi menjadi lemah, kejayaan menjadi kabur.
"Untuk itu, pembaharuan kepimpinan perlu dilakukan. Muktamar PAS kali ini memberi ruang untuk memperbaharui mandat kepimpinan menerusi proses pemilihan baharu.
"Perbaharuilah mandat kepimpinan yang boleh bergerak bersama nakhoda bahtera ke arah memacu kejayaan yang sebenar dalam perjuangan," katanya pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Dewan Ulama pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat ke-54 di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di sini.
Muktamar PAS Pusat ke-61 yang akan berlangsung di Kuala Selangor bermula Khamis menyaksikan pemilihan kepimpinan baharu parti itu termasuk pertandingan bagi jawatan presiden PAS.
Pada pemilihan kali ini, Hadi dicabar bekas Naib Presiden PAS, Ahmad Awang.
Mengulas lanjut Mahfodz berkata, berhubung isu pelaksaan hudud, PAS bukan sahaja berhadapan tentangan daripada musuh dan rakan kerjasama politik, malah turut menerima bantahan daripada pimpinan dalaman parti itu sendiri.
Lebih malang katanya, pemimpin dan ahli PAS sendiri membuat pelbagai tuduhan terhadap presiden PAS yang enggan tunduk kepada kehendak DAP dan PKR.
"Akhirnya kita melihat presiden PAS selaku nakhoda bahtera parti Islam (PAS) dicemuh oleh rakan kerjasama politik. Puncanya kerana mereka gagal untuk memastikan kepimpinan tertinggi parti tunduk terhadap kemahuan dan kehendak mereka.
"Sangat malang apabila ada kalangan ahli dan pimpinan yang bersekongkol mengiyakan tohmahan rakan kerjasama politik lalu menjadi duri dalam daging melemahkan bahtera yang sedang belayar," katanya.


No comments:

Post a Comment