ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: MAT SABU AKUI MUNGKIN TUBUH PARTI BAHARU GANTI PAS

Wednesday 17 June 2015

MAT SABU AKUI MUNGKIN TUBUH PARTI BAHARU GANTI PAS



MUAR - Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berserta beberapa bekas anggota jawatankuasa (AJK) parti itu tidak menolak kemungkinan membentuk sebuah parti baharu bagi meneruskan perjuangan politik mereka.

Mohamad, yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang berkata, buat masa ini, mereka mempunyai beberapa pilihan untuk dipertimbangkan, kini dalam siri lawatan ke negeri-negeri di Semenanjung bagi melihat sokongan rakyat.

"(Buat masa ini) kami belum memikirkan. Sekarang kami bergerak untuk melihat sokongan rakyat dan mungkin kita akan ambil masa sebulan dua untuk melihat (dan mempertimbang) pelbagai pilihan.

Sama ada nak menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kekal pada parti politik sedia ada ataupun menubuhkan parti politik baharu. Itu semua pilihan yang belum kami putuskan," katanya kepada pemberita selepas majlis 'Jasamu Dikenang' di Bakri dekat sini, malam tadi.

Yang turut hadir pada sidang akhbar itu termasuk bekas Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub serta bekas-bekas AJK PAS Khalid Samad, Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Hatta Ramli, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Bekas Pesuruhjaya PAS Kedah; Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud serta bekas Pesuruhjaya PAS Johor, Aminolhuda Hassan turut hadir.

Mohamad berkata demikian ketika ditanya sama ada tindakan DAP yang mengisytiharkan bahawa Pakatan Rakyat tidak wujud lagi semalam, seakan-akan memberi peluang kepada mereka untuk membentuk parti baharu sekali gus menjalin pakatan baru.

Beliau berkata, kerjasama dengan mana-mana pihak, termasuk DAP akan diteruskan kerana selari dengan aspirasi mereka untuk menukar tampuk pemerintahan negara pada masa depan.

"Atas (tiket) individu, kami boleh berjumpa sesiapa. Saya pun diundang berceramah sebagai ahli biasa PAS. Jadi tidak terikat dengan protokol parti sangatlah," kata Mohamad, yang dikenali lebih sebagai Mat Sabu.

Ketika ditanya sama ada 'kumpulan itu' bergerak atas tiket Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) atau ada gelaran lain, beliau berkata: "Tiada nama pun lagi. Kami bergerak sekarang sebagai saya Mohamad Sabu, dia bergerak sebagai Aminolhuda, ni Dr Mariah sebagai ahli parlimen. Tiada gelaran lagi."

Berhubung dengan kemungkinan menghadapi situasi digantung keanggotaan berikutan jelajah itu, Mohamad berkata perkara itu terpulang kepada kepimpinan PAS sambil menambah beliau masih bekerja seperti biasa sebagai anggota biasa parti itu.

"Kami tidak berkerat rotan. Masih bekerja seperti biasa," kata beliau.

Selepas Johor, satu lagi majlis yang sama dijangka berlangsung di Pahang pada 26 Jun ini.

Selain Mohamad, kesemua bekas pemimpin PAS yang hadir itu, gagal mempertahankan jawatan masing-masing dalam Muktamar Tahunan Pas ke-61 di Kuala Selangor awal bulan ini.

Muktamar PAS lepas turut disifatkan sebagai kebangkitan semula golongan pro-ulama dalam kepimpinan parti itu dengan hampir kesemua calon golongan profesional gagal menguasai jawatan-jawatan pen­ting dalam parti itu.

Bernama

No comments:

Post a Comment