ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: DUA LAGI TERBUNUH DI "SELEKOH MAUT"

Sunday, 14 June 2015

DUA LAGI TERBUNUH DI "SELEKOH MAUT"



CYBERJAYA: Ia merupakan satu kes ngeri yang 'deja vu'.

Bulan lepas seorang pegawai polis terbunuh selepas kereta yang dipandunya terjun ke dalam lombong di belakang selekoh tajam di jalan gelap di Puchong Permai dan pada Sabtu, dua lagi lelaki lain maut dengan cara dan di tempat yang sama.

Menurut Majlis Perbandaran Sepang, kerja-kerja pemasangan lampu, pagar dan tanda amaran di Jalan Meranti Permai bagi mengelakkan kemalangan pada masa akan datang dijangka bermula minggu depan.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata pemandu, seorang warga Nigeria yang belum dikenal pasti identitinya sedang memandu di jalan itu kira-kira pukul 9.40 pagi Sabtu apabila saksi melihat nahas yang melibatkan kereta jenis Proton Persona itu.

Kereta tersebut dilihat melambung kira-kira 10 meter di atas kolam sebelum terhempas ke dalam air.

Pasukan Bomba dan Penyelamat mendapati kereta tersebut tenggelam pada kedalaman kira-kira 15 meter di dalam kolam dan berjaya menarik pemandu keluar kira-kira pukul 1 tengahari.

"Kami kemudian menarik kereta dari kolam dan mendapati terdapat satu lagi mayat di dalamnya. Ia adalah warga Afrika tetapi belum dikenal pasti."

Beliau berkata kemalangan itu menimbulkan kebimbangan kerana jalan raya itu 'jelas bahaya'.

"Bulan lepas, seorang pegawai polis sedang memandu dan terhumban ke dalam kolam kerana selekohnya yang tajam dan jalan yang gelap pada waktu malam," katanya.

Abdul Aziz juga berkata polis akan membuat ujian dadah dan alkohol terhadap pemandu khususnya yang memandu di kawasan itu.

Pegawai Daerah Sepang Roslina Md Jani berkata Majlis Perbandaran Sepang akan mengupah kontraktor untuk melakukan kerja-kerja keselamatan di sepanjang jalan itu minggu depan.
mStar

No comments:

Post a Comment