Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, mengikut persetujuan dicapai sebelum ini, Kerajaan Persekutuan akan membantu menyiapkan jajaran sejauh kira-kira 43 kilometer bermula di Kota Bharu hingga ke Machang.

Dalam masa sama, kata beliau, kerajaan negeri pula akan menyiapkan laluan sejauh 30 kilometer bermula di Machang hingga ke Kuala Krai.

“Kita dimaklumkan lebuh raya ini (Machang-Kuala Krai) menghadapi banyak masalah terutama dari segi pembiayaan.

“Jadi, difahamkan sudah ada ura-ura untuk memindahkan tanggungjawab ini kepada Pusat. Perbincangan melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerajaan negeri itu sudah ada namun saya tidak pasti perinciannya. Saya akan semak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Jamuan Makan Malam Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan 2015, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapha; Pengarah Pendidikan negeri, Hussain Awang serta Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Pada 28 Mei 2012, bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merasmikan majlis pecah tanah dan meletakkan batu asas pembinaan Lebuh Raya Rakyat di Felcra Mek Nab, Berangan, Machang.
Ketika itu, Kerajaan Pas Kelantan mengumumkan pembinaan projek tersebut dijangka siap dalam tempoh tiga tahun dan meminta rakyat tampil menghulurkan derma bagi membantu pembinaan lebuh raya yang menghubungkan bandar Kota Bharu dengan Kuala Krai.

Isu pembinaan Lebuh Raya Rakyat ini terus menjadi perbualan hangat apabila Kerajaan Pas Kelantan turut menukar kontraktor yang dilantik beberapa kali selain salah sebuah syarikat tersebut turut memfailkan saman kerana mendakwa ditamatkan kontrak tidak mengikut prosedur.

Sejak April tahun lalu, Kerajaan Persekutuan giat melaksanakan pembinaan projek tersebut bagi Pakej 1B Pasir Hor-Kadok sejauh tujuh kilometer selain telah memulakan kerja-kerja pembinaan Pakej 2A Kadok-Ketereh sejauh 6.4 kilometer, bulan lalu.

Dua fasa berkenaan menelan belanja kira-kira RM350 juta dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Sementara itu, pada Ogos tahun lalu, Kerajaan Pas Kelantan mengumumkan kerja-kerja pembinaan fasa pertama projek pihaknya telah pun bermula di Bukit Bakar. Projek tersebut bagaimanapun dikatakan tidak menunjukkan sebarang kemajuan.