ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: DEWAN PEMUDA PAS SAMBUNG SESI MUKTAMAR, DEWAN MUSLIMAT PAS & DEWAN ULAMAK PAS MULA MUKTAMAR

Wednesday 3 June 2015

DEWAN PEMUDA PAS SAMBUNG SESI MUKTAMAR, DEWAN MUSLIMAT PAS & DEWAN ULAMAK PAS MULA MUKTAMAR

Dewan Pemuda PAS menyambung sesi muktamarnya manakala Dewan Muslimat dan Dewan Ulamak parti itu memulakan muktamar masing-masing pada Rabu sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-61.
Muktamar Dewan Pemuda yang telah bermula semalam, bersambung hari ini di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam dengan beberapa agenda, termasuk sesi pemilihan kepimpinan bagi tempoh 2015-2017.
Pemilihan yang dijadualkan berlangsung pada tengahari ini menyaksikan penyandang jawatan Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat dicabar Anggota Parlimen Pasir Mas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Sementara penyandang Timbalan Ketua Pemuda Muhammad Khalil Abdul Hadi dicabar Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob, yang mana 736 perwakilan dewan itu dijangka akan mengundi calon pilihan masing-masing termasuk beberapa lagi jawatan dalam dewan berkenaan.
Tidak jauh dari Dewan Jubli Perak, Dewan Muslihat PAS pula memulakan muktamarnya di Pusat Konvensyen Shah Alam, Shah Alam yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.
Dewan Muslimat parti itu turut mengadakan pemilihan tengahari ini yang menyaksikan jawatan Ketua Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusoff akan dicabar Nuridah Salleh.
Sementara itu, Dewan Ulamak PAS memulakan muktamarnya di Dewan Dato' Haji Fadzil Mohd Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, Gombak yang dirasmikan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din.
Dewan Ulamak juga mengadakan pemilihan bagi jawatankuasa dewan itu tengah hari.
Semua keputusan pemilihan membabitkan ketiga-tiga cabang PAS itu dijangka akan diumumkan petang ini.
Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-61 pula akan berlangsung esok sehingga Sabtu ini di Stadium Tertutup Kuala Selangor, Kuala Selangor.

No comments:

Post a Comment