ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: BAPA MAUT, ANAK USIA 3 TAHUN PARAH DALAM KEMALANGAN

Friday, 9 January 2015

BAPA MAUT, ANAK USIA 3 TAHUN PARAH DALAM KEMALANGAN



KUALA KURAU - Seorang peniaga maut manakala isteri dan anaknya berusia tiga tahun cedera parah setelah kereta mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di atas Jambatan Kuala Kurau, di sini pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Helmi Arshad, 25, yang beralamat di Batu Kurau, Taiping maut di tempat kejadian manakala isterinya, Fauziah Hasri, 26, dan anak lelakinya, Muhammad Hakim Hakimi, 3, mengalami kecederaan parah apabila tangan serta kakinya patah.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Wira sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu 13, Jalan Pantai di sini setelah selesai berniaga pasar pagi di Masjid Tinggi, Bagan Serai.

Menurutnya, sewaktu kejadian, kereta dinaiki ketiga-tiga mangsa dipercayai gagal memotong sebuah kenderaan di laluan berkembar mengakibatkan ia bertembung dengan Toyota Hilux  yang berada di laluan bertentangan.

“Mangsa yang merupakan pemandu kenderaan meninggal dunia di tempat kejadian setelah tersepit di bahagian tempat duduk pemandu, manakala isteri dan anaknya yang cedera parah dikeluarkan dengan bantuan orang ramai dan dibawa ke Hospital Taiping.

“Pemandu Toyota Hilux yang bekerja sebagai pengurus ladang pula difahamkan pergi mendapatkan rawatan ke klinik berhampiran setelah hanya cedera ringan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Omar Bakhtiar berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penyelia Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau, Che Hassan Che Ngah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Pusat Kawalan Operasi pada jam 10.37 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada jam 10.43 pagi.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati terdapat seorang mangsa pemandu lelaki tersepit di bahagian tempat duduk pemandu, manakala seorang penumpang wanita dan kanak-kanak berusia tiga tahun cedera parah.

“Enam anggota kami berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam tempoh 15 minit menggunakan alat pemotong.

“Kami juga mengeluarkan penumpang wanita yang cedera parah dan anaknya untuk dibawa ke hospital,” katanya.

sh

No comments:

Post a Comment