ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: SEKOLAH JANGAN SOROK KES BULI – PDRM

Saturday 8 November 2014

SEKOLAH JANGAN SOROK KES BULI – PDRM


Kuala Lumpur – Semua sekolah dinasihatkan tidak menyembunyikan kes buli membabitkan pelajar mereka dengan alasan demi menjaga nama baik sekolah.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, tindakan tegas boleh diambil ke atas pihak sekolah sekiranya polis mendapati mereka cuba menyembunyikan kes buli.

“Bagaimanapun polis dan sekolah sentiasa menjalin hubungan rapat bagi memastikan tahap keselamatan di lebih 10,000 buah sekolah di seluruh negara.

“Sebelum ini ada cadangan dibangkitkan untuk menempatkan anggota polis di setiap sekolah. Namun ia memerlukan jumlah keanggotaan yang ramai selain kos tinggi yang perlu ditanggung Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya pada sidang media Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Program Diploma Sains Siasatan  sesi 2012/2013 di Maktab PDRM Cheras, semalam.

Pada majlis tersebut, seramai 39 anggota terdiri daripada 34 pegawai PDRM, dua pegawai Angkatan Tentera Malaysia dan tiga pegawai Polis Diraja Brunei Darussalam menerima sijil sebelum dianugerahkan diploma masing-masing pada majlis konvokesyen di Universiti Malaya nanti.

Dalam pada itu, polis menyambut baik usaha mana-mana sekolah untuk meletakkan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau tahap keselamatan.

Kelmarin, lima pelajar mengaku salah di Mahkamah Juvana, Kangar atas tuduhan bersama-sama dalam satu kumpulan mendatangkan kecederaan ke atas murid tahun lima di Asrama Anak Yatim, Kompleks Penyayang Doktor Siti Hasmah, di Jejawi, Kangar pada 31 Mei hingga 1 Jun lalu.

Dalam perkembangan berasingan, polis turut mengenal pasti suspek utama dalam video klip aksi buli diketuai seorang remaja lelaki memakai singlet hitam yang viral di laman sosial baru-baru ini, yang berlaku di Pontian, Johor empat tahun lalu.

Beberapa suspek dan mangsa lain juga sudah dikenal pasti. Namun sehingga kini tiada laporan polis diterima daripada mangsa atau keluarga dan pihak sekolah turut mengesahkan tiada sebarang laporan dibuat berhubung insiden terbabit.

Sementara itu, bagi kejadian tanah runtuh dan rekahan pada bangunan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, menurut Mohamad Fuzi, Jabatan Kerja Raya akan menghantar pasukan pemeriksa dalam tempoh terdekat.

No comments:

Post a Comment