ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: MH17 : PEMBANTU JURUTERBANG ANTARA 16 MAYAT DIKENAL PASTI

Thursday, 14 August 2014

MH17 : PEMBANTU JURUTERBANG ANTARA 16 MAYAT DIKENAL PASTI


KUALA LUMPUR: Jenazah pembantu juruterbang, Muhammad Firdaus Abdul Rahim adalah antara 16 mayat warga Malaysia terlibat dalam nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang dikenal pasti dan akan dibawa pulang seawal-awalnya minggu depan.

Bapa saudara Muhammad Firdaus, Azman Ibrahim berkata, pihak MAS memaklumkan perkembangan itu kepada ibu dan kakak mangsa yang menetap di Shah Alam, semalam namun masih belum diberikan tarikh sebenar jenazah akan tiba di Malaysia.

"Kami diberitahu jenazah mangsa dikenal pasti menerusi padanan DNA. Kami juga diberitahu keluarga akan dibawa ke Amsterdam untuk mengiringi jenazah balik ke Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Rabu.

Tambahnya walaupun keluarga masih bersedih dan tidak tahu keadaan jenazah mangsa, mereka lega kerana sekurang-kurangnya dapat menyempurnakan jenazah selain menunaikan hasratnya untuk disemadikan di sebelah kubur arwah ayahnya di Teluk Intan, Perak.

Sebaliknya keluarga enam beranak Tambi Jiee tetap redha walaupun tidak mendapat sebarang perkhabaran daripada MAS berhubung nasib Tambi, isterinya Ariza Gazalee serta empat anak pasangan itu.

Sepupu Ariza, Zurusdi Mohamad Hol berkata, keluarga masih menyimpan harapan untuk membawa pulang keenam-enam jenazah ke Semariang, Sarawak.

Turut sama menyimpan hasrat itu isteri pramugara, Shaikh Mohd Noor Mahmood, Madiani Mahdi.

Madiani berkata, pihak MAS menyuruh beliau bersedia namun masih belum menerima sebarang maklumat jika jenazah suaminya antara 16 yang akan dibawa pulang.

Tambahnya, pihak keluarga telah sepakat untuk menanam arwah di kampungnya, di Klang jika jenazah mangsa berjaya dibawa pulang ke tanah air.

Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di negara bergolak itu.

Selain 43 warga Malaysia, penumpang pesawat itu turut terdiri daripada warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.

No comments:

Post a Comment