ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KRISIS MB SELANGOR : SIAPA UNTUNG, SIAPA RUGI ???

Friday 15 August 2014

KRISIS MB SELANGOR : SIAPA UNTUNG, SIAPA RUGI ???

Krisis MB Selangor: Siapa untung, siapa rugi?

Kemelut politik di Selangor belum nampak ada penghujungnya biarpun Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan telah mendapat sokongan 30 ADUN Pakatan Rakyat untuk membolehkan beliau menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Apa yang berlaku di Selangor hari ini akan memberi kesan jangka panjang kepada semua parti yang berada dalam Pakatan Rakyat, sama ada mereka akan untung atau akan rugi untuk berdepan dengan rakyat jika ada Pilihan Raya Negeri atau Pilihan Raya Umum akan datang.

Banyak pihak melihat PAS akan rugi dalam kemelut politik ini dengan sikapnya yang dilihat tidak selari dengan dua rakannya dalam Pakatan Rakyat, DAP dan PKR.

Tetapi benarkah PAS akan rugi? Atau dalam jangka masa panjang, PAS akan dilihat membuat tindakan lebih tepat berbanding DAP dan PKR dalam usaha menyelesaikan masalah yang dihadapi di Selangor.

Sejak timbulnya cerita PKR mahu menyingkirkan Abdul Khalid sebagai menteri besar, PAS dilihat sebagai penghalang utama kepada usaha yang dikepalai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PAS dikatakan mahu mengekalkan Abdul Khalid kerana mahu menjaga kepentingan individu-individu tertentu yang dekat dengan pemimpin utama parti itu dan ada usaha supaya dapat diwujudkan kerajaan perpaduan bersama UMNO.

Selepas PKR memecat Abdul Khalid, tidak timbul lagi isu PAS menyokong ADUN Pelabuhan Klang itu kerana beliau bukan lagi sebahagian daripada Pakatan Rakyat. Tetapi PAS tetap mengarahkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) menjalankan tugas seperti biasa.

Arahan itu dikeluarkan kerana tidak mahu urusan pentadbiran yang diamanahkan oleh rakyat tergendala hanya kerana usaha menukarkan menteri besar masih tidak dapat diselesaikan.

Setelah PKR memecat Abdul Khalid, PAS juga mengambil pendirian perlu ada calon lain untuk menggambil alih jawatan menteri besar, dan tentunya calon itu perlu dari PKR yang telah dipersetujui bersama mengetuai kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Seperti kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, partinya tidak berniat untuk menangguk di air keruh dan mengambil kesempatan krisis Menteri Besar Selangor sebagai batu loncatan merebut jawatan berkenaan.

Mustafa berkata, jawatan itu sudah diamanah kepada PKR dan dipersetujui Pakatan Rakyat sejak dari mula Selangor diambil alih daripada Barisan Nasional (BN).

Selepas Abdul Khalid dipecat, bukan isu PAS mahu beliau kekal tetapi parti Islam itu mahu PKR mencadangkan calon lain selain Dr Wan Azizah.

PAS telah memaklumkan kepada PKR mengapa parti itu menolak Dr Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

Apa yang ditekankan oleh PAS, ialah calon yang mahu menggantikan Abdul Khalid perlu mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Jelas, PAS tidak mahu timbul sebarang masalah antara istana dan Pakatan Rakyat kerana menyedari kelancaran pentadbiran bergantung juga kepada hubungan baik antara kedua pihak.

Adakah menjadi satu kesalahan kalau PAS mahu menjaga hubungan baik dengan istana demi kepentingan Pakatan Rakyat? Adakah salah jika PAS mahu PKR mencadangkan lebih satu nama untuk dipertimbangkan oleh Sultan Selangor?

Apakah menjaga hubungan baik dengan istana membawa maksud PAS mahu merosakkan Pakatan Rakyat? Apakah Pakatan Rakyat akan rugi jika PAS mahu mengekalkan hubungan baik dengan istana? Apakah salah jika mengambil pendekatan berhemah dalam usaha menukar Menteri Besar Selangor?

Jadi, dalam hal ini, siapa yang rugi, siapa yang untung?

No comments:

Post a Comment