ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: BUDAK 18 BULAN TERPERANGKAP LEBIH 1 JAM DALAM KERETA !!!

Saturday 2 August 2014

BUDAK 18 BULAN TERPERANGKAP LEBIH 1 JAM DALAM KERETA !!!

Bayi 18 bulan terkunci sejam dalam kereta


JERTIH - Seorang ibu berdepan saat cemas apabila anak perempuan berusia setahun setengah terperangkap kira-kira satu setengah jam di dalam kereta di depan sebuah pasar raya di Seberang Jertih, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa, Marisa Mohd Hashim terperangkap di dalam kereta seorang diri, setelah dikatakan tertekan kunci kereta hingga menyebabkan semua pintu terkunci.

Ibu mangsa yang merupakan doktor di sebuah klinik kesihatan kerajaan, Dr Zaleha Mohd Zahid berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang mengeluarkan barangan dibeli di pasar raya tersebut untuk diisi di dalam kereta.

Katanya, anak perempuannya ketika itu berada di kerusi hadapan sebelum secara tiba-tiba pintu tertutup lalu terkunci.

“Dipercayai anak saya yang memegang kunci kereta tersalah tekan butang, lalu pintu terkunci dari dalam ketika saya berada di luar kereta. Saya cuba membuka pintu itu dari luar, tetapi gagal menyebabkan saya terpaksa menghubungi bomba,” katanya.

Bomba yang bergegas ke tempat kejadian berusaha membuka pintu kereta secara manual, tetapi tidak berjaya sebelum terpaksa mencungkil cermin kecil bahagian sisi sebelah pemandu dan memecahkan cermin untuk membuka pintu bagi menyelamatkan mangsa.

Kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan kira-kira 11.30 pagi dan diserahkan kepada ibunya yang berada di tempat kejadian.

Doktor wanita itu yang pada awalnya agak cemas, gembira dan bersyukur kerana anaknya berjaya dikeluarkan dengan bantuan bomba tanpa berlaku kejadian tidak diingini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan bomba yang bertungkus-lumus berusaha untuk mengeluarkan anak saya yang terperangkap,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment