ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: LAGI KES BULI, KALI INI LIBATKAN SEKOLAH PONDOK PULA !!!

Wednesday, 10 December 2014

LAGI KES BULI, KALI INI LIBATKAN SEKOLAH PONDOK PULA !!!


KEMAMAN – Pesara kerajaan, Muhamad Endut, 63, kesal kerana anaknya yang belajar di sebuah sekolah pondok di Kuala Berang, Hulu Terengganu dibuli rakan seasrama.

Menurut Muhamad, walaupun kejadian berlaku pada 3 November lalu, namun anaknya, Ahmad Imran Muhamad, 15, yang masih belajar di tingkatan tiga sekolah berkenaan, sehingga kini masih trauma.

Lebih menyedihkan, kata Muhamad atau dikenali dengan panggilan Pok Hassan, kejadian itu merupakan kejadian buli kedua yang menimpa anaknya kerana pada 1 Oktober lepas, seorang pelajar tiba-tiba menghentak kepalanya dengan kayu ketika anaknya itu sedang tidur.

Akibatnya, anaknya itu terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan menerima 10 jahitan di kepala.

“Dalam kejadian pertama, pada awalnya anak tidak sedar kepalanya berdarah apabila dipukul dengan sebatang kayu. Sebaik dia terasa sakit, dia tersedar daripada tidur dan kejar pelajar yang pukul dia dengan kayu.

“Selain pecah kepala, beberapa bahagian badan iaitu belakang, paha dan buku lali turut lebam. Apa yang mengecewakan saya, seorang cikgu sekolah itu hanya beritahu saya yang anak kena kayu dan bukan dipukul,” katanya.

Menurut Muhamad, selepas menerima rawatan di HSNZ, guru terbabit memberikan anaknya wang dan disuruh pulang tanpa teman dengan menaiki bas dari Kuala Terengganu ke rumah mereka di Kampung Geliga, di sini.

Sehubungan itu, Muhamad membuat laporan kejadian di Balai Polis Kemaman pada 2 Oktober, sebelum merujuk kes berkenaan di Balai Polis Kuala Berang.

Bagaimanapun, kata beliau, kes buli yang menimpa anaknya itu kembali berulang, malah semakin teruk apabila dipukul sembilan pelajar dalam kejadian pada jam 10 malam.

“Saya terkejut apabila seorang pelajar asrama menghubungi saya dan beritahu anak dipukul. Kata pelajar itu, kalau saya tak datang ambil anak, anak mungkin mati dipukul.

“Ketika dibelasah sembilan pelajar, kepala anak saya turut dihentak atas cermin dan dipukul dengan seterika. Kejadian itu terjadi waktu anak saya sedang buat air sebelum tiba-tiba seorang pelajar tingkatan satu memanggilnya masuk ke bilik dan dia dipukul beramai-ramai,” katanya yang sekali lagi membuat laporan polis berikutan kes berkenaan.

Muhamad berkata, hatinya sedih kerana guru bertanggungjawab hanya mengenakan denda membersihkan tandas kepada semua sembilan pelajar yang membelasah anaknya itu.

“Sebagai pelajar sekolah pondok, sepatutnya kes buli sebegini tidak berlaku. Ini menjejaskan imej sekolah dan saya harap pihak sekolah dapat mengambil tindakan tegas kerana jika tidak dibendung, kes buli seperti ini mungkin akan menimpa pelajar lain pula,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment