KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak Jumaat menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menghantar bantuan kemanusiaan dengan serta-merta ke Semenanjung Gaza.
Dalam ‘Siaran Radio Perdana Menteri Mengecam Operasi Serangan Udara Israel Ke Atas Gaza’ pada laman blog www.1malaysia.com.my hari ini perdana menteri berkata Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan pasukan pertahanan Israel ke atas wilayah itu.
Beliau berkata kekejaman rejim Zionis terhadap penduduk Palestin di Gaza, bukan sahaja ditentang umat Islam, malah seluruh manusia yang berpegang kepada prinsip kemanusiaan.
Sehingga kini, media melaporkan sekurang-kurangnya 81 rakyat Palestin terkorban manakala ratusan lagi cedera hasil serangan roket bertubi-tubi tentera rejim Israel terhadap Gaza.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dilaporkan berkata pihaknya telah mengerahkan 40,000 tentera bagi melancarkan serangan darat pula ke Gaza dalam operasi yang digelar ‘Operasi Perlindungan Sempadan’.
Najib berkata Malaysia tidak akan berputus asa memperjuang hak rakyat Palestin, dan memberi sokongan padu terhadap segala usaha untuk menamatkan konflik yang telah sekian lama berlaku di Gaza.
Bagaimanapun, katanya, segala usaha tidak akan lengkap tanpa adanya tawakal.
“Oleh itu, kepada yang beragama Islam saya sarankan kita lakukan solat Hajat beramai-ramai, di samping menunaikan ibadah solat Tarawih demi rakyat Palestin,” kata perdana menteri.
– BERNAMA
No comments:
Post a Comment