ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PEGAWAI IMIGRESEN DIBURU POLIS 'HILANG' SEJAK MINGGU LALU - SUMBER

Tuesday 22 July 2014

PEGAWAI IMIGRESEN DIBURU POLIS 'HILANG' SEJAK MINGGU LALU - SUMBER


PETALING JAYA: Seorang pegawai Imigresen yang kini diburu polis kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pemalsuan permit pekerja asing tidak hadir bertugas sejak minggu lalu.

Sumber memberitahu mStar Online, Mohamad Rohailizal Ramli, 34, yang juga pegawai Imigresen berpangkat gred KP17 itu menghilangkan diri selepas kes sindiket tersebut dibongkarkan menerusi beberapa siri serbuan oleh pihak polis.

“Dia (Mohamad Rohailizal) dalam siasatan tatatertib tahun lepas kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan.

“Sebelum ini, pegawai terbabit bertugas di Bahagian Pas, Visa dan Permit dan kemudian dipindahkan ke bahagian lain di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen, Putrajaya,” katanya.

Mohamad Rohailizal dan rakannya yang juga orang awam, Mohamed Shairuel Featdzill, 39, menghilangkan diri sejak Ahad dan dipercayai masih berada di sekitar Lembah Klang.

Dalam Op Levi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di tujuh lokasi di Lembah Klang pada pagi Ahad, seramai lapan lelaki tempatan termasuk dalang dan dua wanita warga asing ditahan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Aloyah Mamat berkata, jabatan itu memberi kerjasama kepada polis berhubung pegawainya yang dipercayai terlibat dengan sindiket berkenaan.

“Kita sedia memberi kerjasama dan menyerahkan siasatan itu kepada pihak polis,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Dalam pada itu, Aloyah memberi amaran kepada semua majikan supaya membuat urusan berkaitan pekerja asing di pejabat Imigresen di seluruh negara tanpa melibatkan orang tengah.

“Jabatan Imigresen tidak menggunakan orang tengah dalam mana-mana urusan. Majikan perlu berurusan terus di kaunter Imigresen.

“Jangan hanya selepas bertindak menggunakan orang tengah dan kemudiannya tertipu baharu hendak uat laporan. Gunakan saluran yang betul apabila berurusan berkaitan imigresen,” katanya.

Kegiatan sindiket pemalsuan permit pekerja asing itu terbongkar selepas polis menerima laporan dibuat oleh beberapa syarikat setelah gagal memperbaharui permit pekerja mereka yang tamat tempoh.

Timbalan Pengarah (Risikan dan Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan dalam sidang media pada Isnin berkata, polis percaya pegawai imigresen itu menjadi antara individu penting yang berperanan mendapatkan borang berkaitan permit kerja serta mengeluarkan kelulusan palsu sejak setahun lalu kepada syarikat-syarikat di sekitar Lembah Klang, Perak, Johor dan Pahang.

"Sehubungan itu, polis meminta kedua-duanya segera menyerah diri ke mana-mana balai berdekatan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan," katanya.
mStar

No comments:

Post a Comment