Perdana Menteri Netherlands, Mark Rutte menggesa Presiden Rusia, Vladimir Putin menggunakan pengaruhnya dan melakukan "apa yang patut beliau lakukan" berhubung nahas pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 yang dipercayai ditembak jatuh Khamis lepas.
Dalam satu sidang media yang diadakan selepas menelefon Putin dari The Hague, Rutte berkata Putin "hanya ada satu peluang akhir" untuk menunjukkan beliau serius membantu pasukan penyelamat mengambil mayat mangsa nahas itu.
"Suhu di sana 35 darjah selsius. Mayat-mayat itu mesti diambil segera. Saya mahu tengok hasil, akses yang tidak terhalang dan pemulangan mangsa-mangsa itu," katanya seperti dipetik oleh portal beritaDutch News.
Kenyataan Rutte itu dibuat selepas ada khabar pemberontak pro-Rusia memindahkan 38 mayat dari lokasi. Kerajaan Ukraine dalam satu kenyataan mendakwa pemberontak itu, dengan dibantu oleh Rusia, cuba memusnahkan bukti.
Ukraine menuduh pesawat tersebut ditembak jatuh oleh pemberontak yang memperjuangkan kemerdekaan daripada negara itu. Kumpulan pemberontak yang didukung oleh Rusia itu sebaliknya menuduh tentera Ukraine bertanggungjawab.
Jijik
Sementara itu, Rutte menyifatkan tindakan pemberontak yang menguasai lokasi nahas termasuk menyelongkar barangan penumpang yang terkorban sebagai tingkah laku "yang menjijikkan".
Sebelum sidang media itu, Menteri Luar Netherlands, Frans Timmermans bertemu dengan Presiden Ukraine, Petro Poroshenko di Kiev. Beliau memberitahu presiden itu, rakyat Netherlands "marah dan berang" dengan berita bagaimana pemberontak memperlakukan mayat mangsa nahas itu.
"Apabila ada bukti, kami tidak akan berhenti sebelum mereka yang terlibat dibawa ke pengadilan. Bukan saja mereka yang melepaskan tembakan tetapi mereka yang membenarkan ini berlaku.
"Saya fikir masyarakat antarabangsa perlu meningkatkan usaha dalam hal ini," katanya seperti dipetik olehReuters.
Stesen penyiaran Nos pula melaporkan Poroschenko dalam reaksi balasnya memberitahu tindakan pemberontak tidak membenarkan penyiasat asing masuk ke zon nahas adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.
Puak pemberontak bagaimanapun menafikan mereka campur tangan dalam siasatan sebaliknya mengatakan sudah berjanji kepada Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) bahawa mereka tidak akan menyentuh mayat atau serpihan pesawat.
Siap sedia
Sekurang-kurangnya pasukan petugas dari Netherlands, Ukraine dan Malaysia sudah bersiap sedia untuk memulakan operasi di lokasi kejadian. Laporan juga menyebut pakar forensik dari Jerman dan Britain juga telah tiba di Ukraine.
Malaysia Airlines pada Sabtu mendedahkan senarai penuh penumpang dan anak kapal. Pesawat penerbangan MH17 itu membawa 298 orang dengan 193 daripadanya disahkan oleh Malaysia Airlines sebagai warga Belanda.
"Saya fikir semua penduduk negara ini kenal siapa-siapa dalam pesawat itu, sama ada secara langsung atau tidak langsung," katanya.
Daripada 193 warga Netherlands itu, 80 daripadanya berumur di bawah 18 tahun. Daripada 80 orang itu, 23 daripadanya berumur di bawah 12 tahun dan 3 lagi bayi.
No comments:
Post a Comment