ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: MH17 : PASUKAN PENYIASAT MALAYSIA TERIMA MAYAT MANGSA

Wednesday 23 July 2014

MH17 : PASUKAN PENYIASAT MALAYSIA TERIMA MAYAT MANGSA


KHARKIV - UKRAINE. Beberapa anggota Pasukan Siasatan Khas Malaysia menerima mayat mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas di Ukraine, Khamis lepas.
    
Kesemua 282 mayat terbabit tiba di Kharkiv, kira-kira 500 kilometer dari Kiev, jam 12 tengah hari (waktu tempatan).
    
Ketua Pasukan Siasatan Khas Malaysia Khairil Hilmi Mokhtar mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama.      

Bagaimanapun, petugas media rasmi tidak dibenar memasuki kawasan operasi di mana mayat terbabit akan dikenal pasti dan dipindah daripada kereta api yang dilengkapi bilik penyejuk meskipun menunggu lebih enam jam sejak jam 6 pagi.
    
Seorang pegawai kerajaan Kharkiv berkata kesemua mayat itu dibawa ke pangkalan tentera sebelum dihantar balik ke negara asal.

Kumpulan itu dihantar ke Kharkiv berikutan pengumuman Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya pada Isnin malam, bahawa 282 mayat akan dipindahkan dengan kereta api dari Torez ke Kharkiv selepas beliau berjaya mengadakan rundingan dengan Alexander Borodai, yang menguasai wilayah Ukraine yang bergolak, lokasi pesawat itu terhempas.
    
Tapak kemalangan berhampiran Torez adalah kira-kira 300 kilometer dari Kharkiv.
    
Najib berkata mayat terbabit akan diterbangkan ke Amsterdam dengan pesawat C130 Hercules Belanda bersama-sama anggota Pasukan Siasatan Khas Malaysia.
    
Mayat rakyat Malaysia akan diterbangkan ke tanah air selepas selesai semua kerja forensik.
    
Pasukan itu terdiri daripada 23 petugas daripada Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (SMART), 12 anggota forensik polis dan pegawai Kementerian Pengangkutan. Sembilan pemberita turut menyertai mereka.

Mereka berlepas dari Kiev pada 10.30 malam Isnin (3.30 pagi Selasa waktu  Malaysia) dan tiba di tempat pertemuan pada 6 pagi semalam (11 pagi waktu Malaysia).
    
Semalam, pasukan itu turut menerima dua kotak hitam di Donetsk.
    
Susulan kejayaan mendapatkan mayat serta kotak hitam itu, pasukan penyiasat Malaysia akan memindahkan operasinya ke Belanda dan mereka akan berlepas ke Amsterdam malam ini.
    
Pesawat MAS Penerbangan MH17 itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di Donetsk, timur Ukraine yang terletak berhampiran sempadan Rusia pada Khamis.
    
Pesawat jenis Boeing 777-200 itu membawa 298 orang iaitu 283 penumpang dan 15 anak kapal.
    
Ia dipercayai telah ditembak jatuh tetapi sehingga hari ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab menyebabkan nahas itu.
Bernama

No comments:

Post a Comment