ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: MH17 : KITA MENANGIS BERSAMA

Sunday 20 July 2014

MH17 : KITA MENANGIS BERSAMA


MH17: Kita menangis bersama

Jalur Gemilang dikibar separuh tiang sehingga  21 Julai.

KUALA LUMPUR: Wanita itu tenang berdepan dengan kumpulan wartawan yang mengerumuninya yang membentuk seperti benteng manusia yang tidak mungkin dapat dia tembusi di sekelilingnya.

Dia menjawab soalan demi soalan yang ditanya kepadanya, satu per satu.

"Nama saya Datin Siti Dina."

"Anak perempuan saya, Sherliza Zaini. Umurnya 45 tahun."

"Dia tinggal di Melbourne dengan suami dan anak-anaknya."

"Dia, suaminya dan tiga anaknya yang sudah remaja sedang pulang daripada bercuti di Eropah."

"Saya dapat tahu (tentang nahas MH17) daripada berita di TV."

Puas hati dengan jawapannya, kumpulan wartawan itu membuka jalan, membolehkan wanita itu maju menuju ke kawasan ahli keluarga waris penumpang pesawat malang Malaysia Airlines ditempatkan di KLIA.

Lampu kilat dari kamera terus memancar; wanita itu terus berjalan ke meja pendaftaran. Dia agak jauh dan kami tidak dapat mendengar apa yang diberitahukan kepadanya oleh pegawai MAS.

Tetapi selepas lelaki itu habis bercakap dengannya, Datin Siti Dina menangis dan rebah ke lantai. Beberapa orang kaunselor menerpa menolong dia bangun dan menenangkannya.

Ahli keluarga mangsa pesawat MH17 tidak dapat menahan perasaan sedih sewaktu tiba di KLIA.

Suasana memang penuh emosi dan Datin Siti Dina bukan satu-satunya orang yang berdepan dengan keadaan sukar ini. Ahli keluarga dan rakan taulan penumpang MH17 yang lain pun ada sama di sini.

Dua wanita berumur yang adik atau kanak mereka menaiki pesawat itu duduk di kafe teresak-esak perlahan ketika wartawan dan jurugambar mengerumuni mereka.

Mereka pada mulanya melayan semua soalan. Tetapi barangkali dek tidak dapat menampung perasaan, mereka kemudiannya berhenti bercakap. Air mata terus mengalir di pipi tetapi gambar mereka dirakamkan terus, tidak henti-henti.

Ketika itulah anak lelaki kepada seorang wanita itu hlang sabar. Dia menghentakkan tangannya ke atas meja betul-betul di depan lensa para jurukamera yang terus memotretkan wajah ibunya.

Mesej itu diterima dengan jelas. Wartawan dan jurugambar yang berkerumun itu kemudiannya berhenti dan berlalu pergi, memberikan semula kepada mereka ruang untuk diri sendiri.

Seorang ahli keluarga mangsa pesawat MH17 sedang ditenangkan oleh seorang sukarelawan.

Dalam satu kejadian lain, sekumpulan ahli keluarga yang nampaknya seperti adik beradik atau sepupu berjalan keluar dari kawasan yang dikhaskan untuk waris, mungkin selepas mendengar taklimat daripada pegawai.

Mereka nampak murung. Sesetengahnya berlinang air mata dan mendukung satu sama lain sambil berjalan. Wartawan dan jurugambar menyerbu mereka.

Seorang daripada mereka tiba-tiba naik berang dan mula mencarut dan menghalau wartawan dan jurugambar itu, meminta agar jangan diganggu.

Perasaan dan emosi ahli keluarga dan rakan-rakan penumpang di KLIA yang menyelubungi tragedi MH17 ini cukup mendalam. Tindakan mereka boleh difahami.

Sebagai wartawan dan pemerhati yang tidak ada sebarang hubungan langsung dengan sesiapa dalam pesawat itu, kami tidak dapat membayangkan apa rasanya kalau kami berada di tempat mereka.

Kami melakukan usaha yang terbaik untuk menyampaikan cerita dan berita agar dunia tahu apa yang berlaku. Apa yang berlaku itu adalah satu keganasan yang sungguh dahsyat terhadap Malaysia dan kemanusiaan.

Tetapi satu perkara yang jelas: biarpun berat bahu ahli keluarga dan rakan taulan penumpang MH17 menanggung, seluruh negara berkongsi duka mereka. Kita menangis bersama.

No comments:

Post a Comment