KUALA KRAI - Kejadian sebuah kenderaan pacuan empat roda merempuh sebuah rumah kedai selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas dan sebuah kereta di Guchil Tujuh, di sini petang kelmarin, menyebabkan dua beradik mengalami trauma.
Pemilik rumah kedai, Mohd Ramdzan Mohd Salleh, 51, berkata, kejadian menyebabkan dua anaknya, Mubammad Iman Zafron, 4, dan Dhiya Haisya, 2, takut untuk masuk ke rumah kedai berkenaan.
Menurutnya, kedua-dua anaknya itu akan menangis apabila hendak dibawa masuk ke premis berkenaan dan ditempatkan di sebuah lagi rumah mereka di Pasir Era.
"Bukan hanya menangis berterusan, malah kedua-dua anak saya itu tidak dapat tidur malam akibat kejadian itu.
"Tambahan pula ia merupakan kejadian pertama kami alami sejak mendiami rumah kedai yang dibina sekitar 1965. Saya benar-benar terkejut dengan kejadian tidak diduga ini," katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Ramdzan berkata, sebelum ini pernah berlaku beberapa kemalangan di depan kedai tersebut dan kejadian kelmarin menyebabkan dia sekeluarga kerugian sekitar RM60,000 apabila bahagian depan rumah kedai rosak teruk.
Tambahnya, meja dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk berniaga kedai makan turut mengalami kerosakan.
Sementara itu, anak keduanya, Nur Suhada, 26, berkata, dia sedang menonton televisyen di ruang tamu ketika mendengar dua dentuman kuat dan segera bangun melihat apa yang berlaku.
Katanya, ketika itu dia terkejut apabila melihat sebuah kenderaan pacuan empat roda merempuh dinding kedai bapanya dan turut trauma akibat kejadian tersebut.
"Sama seperti adik, saya juga tidak dapat tidur malam selepas kejadian itu dan berasa takut apabila mengenangnya," katanya.
Pegawai Bomba Kanan II, Abdul Razak Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian daripada orang awam pada kira-kira jam 5.21 petang.
Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati kenderaan pacuan empat roda terbabit terperosok dalam rumah kedai dan pemandunya yang merupakan seorang wanita dihantar ke hospital.
"Wanita berkenaan cedera, manakala suaminya tidak mengalami sebarang kecederaan. Pemandu kereta jenis Proton Iswara bersama anak lelakinya berusia 6 tahun tidak cedera, begitu juga dengan pemandu dan penumpang bas," katanya.
SH
No comments:
Post a Comment