ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: MALAYSIA HANTAR 50 DOKTOR PAKAR KE GAZA

Sunday 13 July 2014

MALAYSIA HANTAR 50 DOKTOR PAKAR KE GAZA


MELAKA: Malaysia akan menghantar dalam masa terdekat seramai 50 doktor pakar bagi 'Misi Bantuan Kemanusiaan ke-4 ke Gaza'.

Pengerusi Biro Kebajikan Umno Malaysia Datuk Seri Abdul Azeez Rahim berkata langkah itu untuk memberi bantuan perubatan kepada rakyat Palestin yang menjadi mangsa serangan udara tentera Israel di Semenanjung Gaza. 

Beliau berkata keputusan itu dinyatakan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak setelah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu, Jumaat.

"Saya dimaklumkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah di Gaza ratusan mangsa cedera dalam serangan itu dan lebih 100 telah meninggal...setiap lima minit berlaku serangan udara dengan lebih 1,500 bedilan. 

"Oleh itu sukarelawan terdiri daripada doktor pakar dalam pelbagai bidang termasuk pakar kanak-kanak, ortopedik, dan sakit puan amat diperlukan bagi merawat mangsa serangan udara yang rata-ratanya adalah kanak-kanak, warga emas dan wanita," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis sumbangan zakat Projek Ehsan Tabung Haji (TH) peringkat negeri Melaka di sini, Sabtu.

Majlis itu dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron. 

Pada majlis tersebut TH menyampaikan bantuan kewangan berjumlah RM100,000 kepada 200 penerima.

Beliau berkata sehingga Sabtu, seramai 43 sukarelawan termasuk 10 doktor telah menyatakan hasrat untuk menyertai misi tersebut

Katanya pihaknya juga mensasarkan untuk menghantar kira-kira 10 tan bantuan terdiri daripada peralatan perubatan dan makanan ke Gaza.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan kewangan atau sumbangan pakaian boleh menghubungi talian 03-22736004 atau menghantarnya ke bilik gerakan misi tersebut di No 66 Jalan Kampung Attap, Kuala Lumpur.

Sementara itu, katanya, TH mensasarkan agihan zakat berjumlah RM1.7 juta melibatkan 3,424 asnaf miskin dan fakir di seluruh negara melalui Projek Ehsan pada tahun ini.
mStar

No comments:

Post a Comment