ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PEMBANGKANG SIFATKAN PERUNTUKAN KHAIRAT KEMATIAN RASIS

Friday 12 December 2014

PEMBANGKANG SIFATKAN PERUNTUKAN KHAIRAT KEMATIAN RASIS


IPOH – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam kecoh apabila wakil daripada pihak pembangkang mempertikaikan peruntukan bantuan khairat kematian berjumlah RM20,000 kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) sambil menyifatkannya sebagai rasis.

Tindakan Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan) mengundang rasa marah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional negeri, Datuk Rusnah Kassim yang ketika itu menjawab soalan lisan berhubung perlindungan Tabbaru' Khairat Kematian negeri yang diajukan oleh Teh Hock Ke (DAP-Jelapang).

“Ini bukan rasis (perkauman), tolonglah, jangan buat saya marah. Perkara ini bukan rasis tetapi seperti yang berlaku di Selangor, yang dibangkitkan Pokok Assam (Teh Kok Lim-DAP) semalam bahawa Kerajaan Negeri Selangor menawarkan untuk memberi sebanyak RM200,000 untuk setiap ADUN pembangkang tetapi ADUN kerajaan dapat lebih daripada RM200,000.

“Di sini, kita berikan kepada ADUN kerajaan RM20,000, maknanya kalau kawasan itu diwakili oleh BN, boleh menuntut. Jika tidak mahu, boleh jumpa ADUN lain atau boleh tuntut di pejabat daerah.

“Tidak ada sekatan dibuat dan tidak ada yang mahu dipinggirkan, sekiranya kerajaan tidak membenarkan langsung sebarang tuntutan daripada rakyat di kawasan yang diwakili pembangkang, itu boleh dikatakan rasis atau ketidakadilan,” katanya.

Tambah Rusnah, sekiranya ADUN pembangkang mahukan keistimewaan atau peruntukan RM20,000 itu, mereka boleh menjadi ADUN BN.

Koo Ham yang terkeliru dengan maksud rasis serta dikriminasi itu kemudian bangun dan memberitahu beliau tidak berniat untuk mengatakan tindakan itu sebagai rasis tetapi merupakan satu diskriminasi.

Terdahulu, dalam sidang DUN, Rusnah menjelaskan bahawa program Insurans Takaful Tabbaru' yang diperkenalkan pada 2 Ogos 2010 telah dijenamakan semula kepada program Tabbaru' Khairat Kematian ne­geri bermula 1 September lalu.

Katanya, penjenamaan itu dilakukan memandangkan perkataan insurans takaful yang diguna menyebabkan kekeliruan kepada masyarakat seolah-olah program itu merupakan insurans berbayar sedangkan skim ber­kenaan adalah percuma kepada penerima yang layak.

“Selain itu, bagi memastikan lebih ramai waris menerima bantuan yang disediakan, kerajaan negeri telah memansuhkan pendaftaran kepada penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitulmal serta pesara kerajaan di bawah pencen RM1,500 sebulan pada Mei lalu dan memgekalkan pendaftaran kategori lain.

“Melalui bantuan itu, waris akan menerima bantuan sebanyak RM500 dan permohonan mengambil masa selama satu bulan untuk diproses sekiranya dilengkapi dengan dokumen sokongan yang disyaratkan,” jelas beliau.

No comments:

Post a Comment