ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: SERANGAN SEKSUAL DI NEW ZEALAND, MINDEF SIASAT PEGAWAI MALAYSIA

Tuesday 1 July 2014

SERANGAN SEKSUAL DI NEW ZEALAND, MINDEF SIASAT PEGAWAI MALAYSIA


PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Seorang pegawai Malaysia yang didakwa cuba melakukan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita di New Zealand, dikenal pasti bertugas sebagai Penolong Staf Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington dan kini disiasat Kementerian Pertahanan (Mindef) di tanah air.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata pegawai itu dibawa pulang ke Malaysia pada 22 Mei bersama keluarganya selepas New Zealand menawarkan alternatif untuk menangani kes itu, yang diterima Malaysia.

Menurut beliau, sejurus tiba di tanah air dengan diiringi pegawai tinggi kementerian berkenaan, kes lelaki berusia 38 tahun itu segera disiasat Mindef.

Katanya Mindef menubuhkan sebuah Lembaga Penyiasat (BOI) bagi menyiasat kes itu secara menyeluruh dan membuat penilaian perubatan terhadap pegawai itu untuk menentukan keadaan fizikal dan mentalnya.

Pada sidang akhbar di sini Selasa, Anifah berkata pegawai itu, berpangkat Pegawai Waran II daripada Mindef, yang dihantar bertugas selama setahun di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, ditahan polis negara itu pada 9 Mei kerana cuba melakukan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita.

Dia dihadapkan ke mahkamah pada 10 Mei atas tuduhan melakukan pecah rumah dan menyerang dengan niat untuk merogol.

Anifah berkata pada 12 Mei, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia mengadakan perbincangan dengan Timbalan Ketua Protokol, Kementerian Hal Ehwal Luar dan Perdagangan (MFAT) New Zealand dan para pegawai polis New Zealand berhubung perkara itu.

"Pada waktu yang sama, Kementerian Luar Malaysia juga bersedia menarik balik imuniti diplomatik tertuduh untuk membolehkan dia didakwa mengikut undang-undang New Zealand.

"Dalam perbincangan itu (pada 12 Mei), pihak New Zealand menawarkan alternatif agar tertuduh boleh dibawa pulang ke Malaysia. Kami tidak pernah berniat mengambil mudah tentang perkara ini," katanya.

Anifah berkata Mindef memberi jaminan dan komitmen bahawa ia tidak akan bertolak ansur atau menyembunyikan sebarang fakta berhubung kes ini kerana amat menyedari ia boleh menjejaskan nama baik Malaysia.

"Mindef akan bekerjasama rapat dengan New Zealand untuk mendapatkan bukti," katnya.

Beliau berkata Mindef tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pegawai itu mengikut Akta Angkatan Tentera 1972 sekiranya terbukti di luar keraguan munasabah yang dia bertangungjawab dan melakukan salah laku yang didakwa itu.

Anifah berkata kerajaan Malaysia mengaku kejadian itu merupakan suatu perkara serius dan tidak pernah berniat untuk menyembunyikan perkara itu.

"Mengenai kejadian ini, walaupun ia kes terpencil, kerajaaan Malaysia memandangnya dengan serius dan ia tidak langsung mencerminkan tingkah laku dan integriti seluruh pegawai diplomatik Malaysia yang bertugas di di luar negara.

"Kerajaan Malaysia komited untuk memastikan wujudnya ketelusan dalam penyiasatan kes ini," katanya.

Anifah berkata Wisma Putra akan menimbang menarik balik imuniti diplomatik pegawai itu sekiranya ia "benar-benar perlu".

Katanya penarikan balik itu perlu dilakukan sekiranya New Zealand memohon ekstradisi tertuduh kerana berpendapat siasatan di Malaysia tidak dilakukan dengan sewajarnya.

"Bagaimanapun, kami mempunyai keyakinan terhadap Mindef (lembaga penyiasat)... dan mereka akan berhubung dengan pihak berkuasa New Zealand untuk mendapatkan bukti.

"Apa yang penting ialah dia perlu disiasat secara menyeluruh serta diberi peluang dengan adil. Jika dia didapati bersalah, hukuman sewajarnya perlu dikenakan," katanya.

Anifah berkata hubungan dua hala Malaysia-New Zealand tidak akan terjejas oleh kes ini kerana kedua-dua negara bekerjasam rapat dalam menanganinya.
BERNAMA

No comments:

Post a Comment