ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PKS DIGESA DAFTAR PERNIAGAAN SEBELUM PERLAKSANAAN GST

Wednesday 2 July 2014

PKS DIGESA DAFTAR PERNIAGAAN SEBELUM PERLAKSANAAN GST


KUALA LUMPUR – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digesa mendaftarkan perniagaan mereka dengan kerajaan sebelum cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan.

Membuat gesaan itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata PKS boleh mendaftarkan perniagaan mereka dalam talian.

“PKS yang tidak terdapat dalam sistem mungkin akan kehilangan penguasaan pasaran mereka dari semasa ke semasa jika syarikat yang lebih besar memutuskan untuk membeli barangan daripada perniagaan yang berdaftar di bawah GST dan mendapat manfaat daripada kredit cukai ke atas input,” katanya kepada pemberita selepas perbincangan meja bulat dengan wakil-wakil daripada persatuan dan dewan perniagaan kebangsaan hari ini.

Mustapa berkata dianggarkan hampir 25 peratus daripada PKS (kira-kira 160,000 perniagaan) akan termasuk dalam sistem GST pada nilai jualan pendaftaran sebanyak RM500,000 setahun.

“Bagi yang tidak termasuk, PKS dinasihatkan supaya menilai keadaan dengan berhati-hati dan sukarela untuk berada dalam sistem GST berikutan banyak kelebihan dalam tempoh jangka panjang,” katanya.

Pada suku pertama 2014, kajian yang dijalankan oleh SME Corp Malaysia ke atas 2,079 responden, 84 peratus daripadanya menunjukkan mereka memerlukan latihan mengenai GST, 26 peratus berkata mereka memerlukan akses kepada perisian patuh GST, dan 25 peratus meminta insentif cukai untuk menaik taraf perkakasan teknologi komunikasi dan maklumat serta peralatan, kata Mustapa.

Di bawah Bajet 2014, kerajaan memperuntukkan RM150 juta untuk membantu PKS membeli perisian perakaunan patuh GST atau menaik taraf perisian sedia ada supaya mematuhi GST.

Mustapa berkata rundingan dengan peserta industri sedang berjalan untuk memastikan mereka mengikuti perkembangan GST.

“Perbincangan dilaksanakan pada setiap minggu untuk mengenal pasti isu yang dihadapi perniagaan, sejajar dengan matlamat komunikasi,” katanya. 
BERNAMA

No comments:

Post a Comment